Saturday, June 22, 2013

Kenapa 'Technical Rehearsal' Itu Penting?

Salamm...

Apabila saya menyebut persoalan di atas, mungkin ramai yang berkata-kata memang lah penting...tak perlu dipersoalkan lagi...semua orang tahu pasal tuu...:-)

Betul tu...ramai orang dah tahu...tapi ramai lagi yang tak faham atau sengaja tak nak faham..sebab itulah saya kemukakan persoalan tuu..percayalah masih ada lagi yang keliru tentang maksud 'Technical Rehearsal'. 'Technical Rehearsal' juga dikenali sebagai 'Latihan Teknikal' di Malaysia. Sesetengah orang menganggap technical rehearsal ni adalah latihan untuk unit teknikal seperti unit lampu, audio, set, multimedia, unit pengurusan pentas, krew dan sebagainya yang berkaitan dengan peralatan teknikal sahaja. 

Sebenarnya 'Latihan Teknikal' adalah latihan bagi semua orang termasuk unit teknikal dan artis yang terlibat dalam sesebuah persembahan tersebut. Mengikut pengalaman saya, ada juga artis menganggap latihan teknikal ini untuk teknikal sahaja, dan mereka tidak perlu datang. Ada juga kes, dimana artis itu datang, apabila latihan teknikal berlangsung, perjalanan latihan tersebut akan berhenti seketika dan menyambung kembali, berulang-ulang kali untuk membetulkan kesilapan samada dari unit teknikal atau juga dari pihak artis. Ada sesetengah artis mula menunjukkan muka kurang senang dan berkata "kalau teknikal belum sempurna lagi kenapa suruh artis datang?". Di sinilah yang saya katakan ada orang masih lagi tidak faham apa itu latihan teknikal atau technical rehearsal itu. Ada juga pihak pengurusan atasan agensi seni tidak mengambil berat dengan istilah dan amalan latihan teknikal ini. 

Mengikut Peter Dean (2002):

"The Technical Rehearsal (or tech) is the point at which all aspects of a production are put together on stage for the first time. The show is worked through in sequence, getting every aspect right. A tech can last for several days, or in the case of major West End or Broadway musicals, weeks". 

Mengikut Hawkins & Menear (1988 & 1993) :

"Technical Rehearsal, everything should be ready, available and working for this rehearsal. This is the time for the technical and backstage staff to rehearse their part in the production and for the actors to get used to the stage, set and props. Technical rehearsals are often long and always hard work. They require a great deal of concentration and patience from all concerned". 

Sesebuah produksi yang tidak mengamalkan sistem latihan teknikal yang berkesan dan bersistematik akan menghasilkan sebuah persembahan yang "huru -hara" dan memalukan pihak pengurusan sesebuah organisasi itu sendiri. Latihan teknikal memerlukan peruntukan masa yang secukupnya bagi memastikan semua idea yang diputuskan oleh sesebuah produksi dapat direalisasikan di pentas. Idea-idea yang datangnya dari pengarah, artis, pereka-pereka, teknikal, SM Team dan lain-lain perlu dilakukan dengan teliti dan teratur bagi memastikan kualiti sesebuah persembahan itu. Jika masa untuk merealisasikan idea-idea tersebut tidak diambil kira dengan sewajarnya, ia akan merosakkan semua idea dan akhirnya menghasilkan sebuah persembahan yang tidak berkualiti dan kelam kabut. 

Hari ini industri seni persembahan kita amat ketara melanggar prosedur ini, ia berlaku tanpa sedar dan sedar. Kita akan dapat menilai samada sesebuah persembahan itu melalui proses latihan yang mantap atau tidak, apabila persembahan tersebut dipersembahkan kepada khalayak. Persembahan yang kemas dan teratur atau menghiburkan, akan menggambarkan bahawa produksi tersebut telah dilakukan dengan cermat dan teratur sebelum menemui penonton. Sebaliknya, jika persembahan sesebuah produksi tidak lancar, banyak masalah teknikal, artis yang 'fumble', ia menunjukkan bahawa produksi tersebut tidak dilakukan sebaik mungkin. 

Proses latihan teknikal adalah penentu kepada kelangsungan perjalanan sesebuah produksi. Jika sesebuah produksi tidak mengamalkannya dengan betul dan sistematik akan merosakkan perjalanan seterusnya seperti Latihan Penuh Berkostum (Full Dress Rehearsal), Persembahan Pra-Tonton (Show Preview) dan Persembahan (Performance). Dalam proses latihan teknikal akan memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk memperbetulkan serta memperhalusi semua aspek penentu kepada kejayaan serta kualiti sesebuah persembahan. 

Kecenderungan untuk tidak mempedulikan permasalahan ini juga, akan memberi tekanan kepada pihak tenaga produksi yang terlibat di belakang pentas, kerana mereka terpaksa mempersembahkan sebuah persembahan yang mereka sendiri tidak bersedia untuk mempersembahkannya kepada penonton. 

Oleh itu, pada pandangan saya, jika kita ingin industri kita menjadi sebuah 'real industri' kita memerlukan sebuah paradigm baharu dalam kerja-kerja mengurus industri seni persembahan kita. Semua pihak yang terlibat samada pentadbir, tenaga produksi, tenaga kreatif, artis, tenaga teknikal dan sebagainya perlu memahami setiap proses dalam menjayakan sesebuah persembahan, demi meningkatkan kejayaan industri yang kita ceburi ini. 

Kita dan kita-kitalah bakal penentu yang akan mencorakkan samada industri seni persembahan kita ini akan menjadi sebuah 'real industri' atau sekadar menjadi pengisi hobi...:-)






Friday, June 21, 2013

Kebijaksanaan "Designer" Membuatkan Penonton Terlentok!!!

Salamm...

Hari ini rajin pulak nak menulis...nak kata free tak lah free sangat...Tengah buat proposal Tesis...saja break sekejap-kejap sambil cari idea pasal proposal tuu..

Nak bincang tajuk "Kebijaksanaan Designer Membuatkan Penonton Terlentok"...bunyi cam best jer kerja designer ni kan? Memang best kalau tahu cara nak bagi orang best laa...

Designer mana ni? apa yang saya maksudkan disini ialah Set Designer, Prop Designer, Sound Designer, Costume Designer, Makeup Designer, Multimedia Designer dan banyak lagi mengikut jenis produksi laa..Sebenarnya Pengarah, Penulis, Pelakon, Penyanyi, Pemuzik, Komposer, Penggubah Lagu, Koreografer, Krew dan yang lain-lain lagi, asalkan memberi ilham kreatif kepada sesebuah produksi itu, juga dikatakan sebagai Designer..

Bagaimana nak bagi penonton lentok? 

Pengetahuan asas sebagai designer adalah, bagaimana ingin memanipulasikan pemikirian (psikologi) penonton. Manusia akan lentok atau akan tertumpu kepada sesuatu perkara yang mereka  'lihat' (sight) dan perkara yang mereka 'dengar' (sound). Maknanya penonton akan menggunakan 2 deria utama ketika mereka berada dalam panggung ketika menyaksikan sesebuah persembahan samada seni pentas atau seni filem & video. Seperkara lagi, perkara yang sentiasa membantu designer dalam proses memanipulasikan psikologi penonton ialah kebanyakkan persembahan dipersembahkan dalam suasana yang gelap. Tujuan panggung digelapkan adalah bagi menutup pemikiran penonton supaya tertumpu kepada pentas atau layar semata-mata. Sebab itulah, ketika menonton kita akan lupa segala masalah lain dan tertumpu kepada persembahan sahaja. 

Pengetahuan kedua sebagai designer adalah bagaimana ingin menjiwai perasaan semula jadi penonton melalui 'colur and texture'. 

Mengikut Jonathan Dee and Lesley Taylor (2002) : 

"Colour is in found in every part of our lives. It enhances our mood, lifts our spirits, affects our emotions and behaviour and influences the way we see ourselves and others".

Dalam buku "Colour Therapy or Colour Psycology" memperjelaskan tentang definisi warna yang memberi makna tertentu kepada emosi manusia. Sebagai contoh: warna biru - nyaman, malam, sejuk, romantik & warna merah- marah, api, benci, dendam, ganas, darah & hijau - subur, nyaman, bersih, segar & kuning atau terang - ceria, gembira, siang, panas.

'Texture' adalah merujuk kepada bentuk atau bahan yang digunakan oleh Designer khususnya bahan-bahan pembuatan set, prop, kostum dan lain-lain lagi. 

Sebenarnya kehidupan seharian kita memang terlibat dengan 'colour and texture' ini. Misalnya memilih warna baju dengan corak, memilih warna dinding rumah dengan tingkat rumah, memilih beg tangan dengan baju atau kasut yang dipakai, memilih baju dan seluar yang dipakai..macam-macam lagi lah menunjukkan bahawa kita sentiasa di pengaruhi oleh  'colour and texture'. Itulah realiti kehidupan manusia hari ini tanpa mengira Agama, Bangsa dan Negara..Realiti itulah perasaan semulajadi penonton..kan?

Jadi apa langkah seterusnya?

Apabila seorang designer telah menerima naskah seperti skrip (teater atau filem), lagu dan senikata (muzik), lagu, segmen atau gerak (tarian). Naskah-naskah tersebut dicipta melalui pengalaman penulis samada dilihat, didengar, dianaslis, dibincang dan sebagainya. Kebanyakkan idea penulis adalah mengangkat realiti kehidupan manusia itu sendiri samada memaparkan kebencian, kemarahan, dendam, cinta, sayang, suka, sedih, sayu dan berbagai-bagai lagi..

Apabila menonton, penonton akan cenderung kepada emosi-emosi tersebut, lebih-lebih apabila ia dipadankan dengan 'colour and texture' yang dihasilkan oleh seseorang designer. Seorang designer hendaklah melakukan kajian yang terperinci setiap peristiwa yang terdapat dalam sesebuah naskah itu, dan cuba mentafsirkan setepat mungkin dengan realiti kehidupan manusia sebagaimana yang diterangkan di atas. Apabila gambaran peristiwa atau skrip tersebut bergabung dengan 'colour and texture', pandangan mata penonton akan tertumpu menghayati paparan kehidupan mereka itu. Sebagai contoh: jika babak sepasang kekasih yang berada dalam suasana warna biru, dengan lampu yang samar, dengan kerusi yang mahal, cantik, berhias kemas akan membawa psikologi penonton ke alam realiti tersebut, seolah-olah memaparkan kehidupan mereka juga. 

Dalam suasana tersebut, peranan 'sound' pula yang mengeluarkan bunyian lagu dengan irama yang tenang, yang akan membawa seribu kenangan lampau..dalam keadaan sedemikian, sebenarnya psikologi penonton sedang dimanipulasikan oleh designer ke dalam sebuah imaginasi antara ilusi dan realti. Apabila pertembungan ilusi dan realiti berlaku, maka psikologi manusia akan menterjemahkannya menjadi suatu emosi; samada cinta, sayang, marah atau sebagainya berdasarkan peristiwa yang digambarkan. 

Adalah diharapkan pembaca dapat membayangkan apa yang saya cuba terangkan di atas. Sebenarnya agak sukar untuk menerangkan dengan terperinci tentang bagaimana ingin memanipulasikan pemikiran penonton melalui perkataan. Ia memerlukan latihan secara praktikal.

Mudah-mudahan ia memberi sedikit panduan kepada designer seni persembahan di luar sana dalam melakukan gerak kerja sebagai designer...:-)




Pengarah Artistik: Malaysia VS Barat

Salamm..

Kefahaman dan amalan tentang tugasan seorang Pengarah Artistik telah mendatangkan banyak persoalan di negara ini. Ada yang faham macam ni...ada yang faham macam tu..akhirnya menjadi dua ikutan macam mazhab pulak...(gurau jer). Pengalaman saya sendiri pun jadi cam tu masa kerja di Istana Budaya dulu...apabila bercakap dan bekerja dengan orang tempatan saya guna definisi Pengarah Artistik yang orang tempatan faham lah...apabila jumpa orang Barat (western) saya guna definisi lain mengikut apa yang orang Barat guna la pulak..

Jadi nak pakai yang mana satu ni? Terpulanglah!!!

Pada saya, saya akan guna istilah yang telah digunapakai secara global dan profesional, kerana ilmu atau istilah sebegini kita tidak perlu cipta atau agak-agak, kerana istilah tersebut telah diiktiraf dan digunapakai secara meluas dan telah membawa kejayaan kepada individu atau organisasi yang telah mengamalkannya. Dalam aspek lain, istilah itu juga telah menjadi rujukan pada peringkat akademik dan mana-mana institusi pengajian seni seluruh dunia. 

Jadi apa maksud atau definisi "Pengarah Artistik" ni ya?

Mengikut Peter Dean (2002): 

"The Artistic Director is responsible for choosing the productions that the theatre will mount, and for directing a number of them. An artistic director needs to be an experienced director of wide range of productions. He or she will have the additional vision, imagination, planning and communication skills to programme and 'sell' to the board, the  senior management team, staff and audience a whole season of productions".

Mengikut Elizabeth Sweeting (1969):

"The Artistic Director is finally and often personally responsible for the policy of the theatre. His choice of plays embodies the particular character of the theatre, based on a combination of personal predilection and sense of what is acceptable to his audience". 

Mengikut Francis Reid (1983):

"An Artistic Director responsible for programme structure and performance standards".

Mengikut American Assosiation of Community Theatre (AACT):

The Artistic Director is responsible for conceiving, developing, and implementing  the artistic vision and focus of the organization, and for major decisions about the ongoing development of the aesthetic values and activities, after extensive consultation with the chief administrative officer. 

Mengikut Theatrecraft.com: 


ARTISTIC DIRECTOR - Normally in charge of the programming of a venue. May also direct shows. 


Mengikut amalan di Malaysia dari dahulu hingga kini:


Artistic Director atau Pengarah Artistik adalah orang yang bertanggungjawab terhadap visual sesebuah produksi, seperti rekaan set, rekaan props, rekaan cahaya, rekaan audio, rekaan kostum, rekaan solekan, rekaan multimedia dan lain-lain yang berkaitan dengan bentuk konsep sesebuah persembahan. Pengarah Artistik akan dibantu oleh pereka-pereka yang terlibat dalam sesebuah produksi itu. 

Mengikut data-data di atas, adalah ternyata bahawa kita telah menggunakan definisi dan amalam yang berbeza dari orang-orang yang telah berjaya dalam industri ini. Pengarah Artistik amalan kita lebih cenderung menjadi seorang pekerja kreatif yang terlibat secara langsung dengan sesebuah produksi, dimana kerja-kerja tersebut sepatutnya dilakukan oleh Sinografer (Scenographer), Pereka Produksi (Production Designer) atau Pengarah Seni (Art Director). Masyarakat luar mengamalkan tugasan seorang Pengarah Artistik adalah orang yang bertugas dalam pejabat menjadi pembuat dasar atau hala tuju sesebuah organisasi, dan pada masa yang sama beliau juga boleh turun padang bertindak sebagai seorang Pengarah Persembahan. 

Jadi persoalannya, apabila kita kata ingin mengamalkan cara kita sendiri dan tidak mahu mengikut amalan orang lain khususnya negara Barat, saya rasa kita perlu  semak balik pendirian tersebut, kerana hari ini dalam semua hal, kita telah diwajarkan kearah kemajuan secara global. Kemajuan secara global adalah pemikiran kolonisme. Pemikiran kita yang sentiasa mencari persembahan yang lain dari yang lain khususnya mengadaptasikan peralatan moden dalam persembahan adalah pengaruh Barat. Membina sebuah Istana Budaya yang mempunyai teknikal yang canggih dan berharga RM 210 juta juga adalah pengaruh Barat. Penonton yang berpusu-pusu memenuhi Panggung Sari Istana Budaya kerana terpengaruh dengan teater muzikal juga pengaruh Barat.

Dengan ertikata lain, kita tidak boleh lari dari hakikat tersebut. Ia termasuk juga lah dengan definisi atau amalan kerja seorang Pengarah Artistik yang telah didefinisikan oleh Barat itu. Bagi saya kita perlu akur dan mungkin juga menerima budaya kerja yang sistematik dan teratur oleh mereka-mereka ini, kerana mereka telah pun berjaya membawa industri mereka menjadi sebuah industri yang berpendapatan tinggi mencecah Billion Dollars atau Billion Pounds. 


Jika kita cuba melawan arus, kita akan kekal meletakkan industri kita sebegini selamanya..

Terpulanglah!!! :-)







Tuesday, June 18, 2013

Posisi Yang Terakhir dalam SM Team adalah ASM..

Salamm...

ASM adalah Assistant Stage Manager (Penolong Pengurus Pentas). Beliau atau mereka adalah orang terakhir dalam senarai SM Team. Ia boleh jadi 1 orang sahaja atau melebihi dari 1 orang, sama ada 2, 3 atau 4, mengikut skala produksi. Walaubagaimanapun SM dan DSM, masing-masing hanya 1 orang sahaja. Seorang SM boleh menguruskan 2 atau 3 produksi dalam satu masa, tetapi DSM tidak boleh pulak menguruskan 2 atau 3 produksi satu masa. Kenapa tak boleh...faham kan? sebab DSM kena ada bersama pengarah pada setiap masa..mana mungkin dia hilang kejap sana dan kejap sini..kan? 

Ok, berbalik kepada ASM, tugasan ASM juga bukan mudah kerana persiapan ruang latihan, mock up set dan prop, kebersihan dan kemudahan tempat latihan, persediaan peralatan teknikal dan sebagainya adalah dibawah tanggungjawabnya untuk memastikan semua perkara tersebut tersedia semasa latihan. Jika sesebuah produksi itu mempunyai unit prop sekalipun, unit prop akan menyerahkan semua prop-prop tersebut kepada ASM untuk menjaga serta menguruskannya. Malah, ASM juga hendaklah berkebolehan membaikpulih prop atau set, jika berlaku sebarang kerosakan kecil. Pada sesi latihan berlangsung ASM akan sentiasa berada di kiri dan kanan ruang latihan, mengendalikan latihan dan seterusnya menunggu apa-apa arahan dari DSM mahupun SM.

Begitu juga semasa produksi memasuki panggung, beliau atau mereka ini akan sentiasa mengurus serta memastikan semua peralatan set, prop dan lain-lain tersedia untuk digunakan. ASM juga akan mengawal keselamatan keluar-masuk artis ke pentas dan akan menjadi "runner" semasa persembahan sedang berlangsung. 

Jika menjayakan sesebuah program festival seperti Citrawarna, Rumah Terbuka Malaysia, Sambutan Kemerdekaan dan sebagainya, Unit Pengurusan Pentas akan dibantu pula oleh "Marshall". Tugas marshall adalah mengiringi peserta persembahan dan menjadi orang perantaraan antara SM Team atau produksi dengan peserta persembahan. Peranan marshall juga penting, kerana kelemahan marshall dalam mengawal, serta memahami perjalanan persembahan, akan menganggu kelancaran  persembahan. 

Sebagai penutup kepada perbincangan tentang SM Team atau Unit Pengurusan Pentas, sekali lagi saya ingin menyarankan bahawa bagi  meningkatkan tahap profesionalisme unit pengurusan pentas, semua pihak hendaklah memperakui bahawa kepentingan unit ini dalam sesebuah produksi. Kita bakal menuju tahun 2020 dalam masa 8 tahun lagi...adakah kita ingin melihat bahawa kerjaya belakang tabir  tidak maju seperti kerjaya lain? Sama ada jawapannya, Ya atau Tidak, ia terletak kepada kita..:-)


Sunday, June 16, 2013

Siapa DSM tu?...Lawyer? Majistret?


Salamm...

Sebenarnya...Bukan Lawyer..Bukan Majistret!!!

Ok...mari kita bercerita tentang siapa DSM pulak ya..DSM adalah singkatan daripada perkataan Deputy Stage Manager (DSM) atau Timbalan Pengurus Pentas. Mungkin ada yang jarang dengar perkataan DSM dalam Unit Pengurusan Pentas. Kebanyakkan dalam produksi, kita guna SM (Stage Manager) dan terus kepada penolong SM atau dikenali sebagai ASM (Assistant Strage Manager). Jadi, perlu ke kita tahu siapa DSM tu? Yaa perlu sangat...sesiapa yang terlibat dengan seni persembahan pentas perlu tahu siapa DSM ni..lebih-lebih lagi pada mereka yang terlibat secara langsung di backstage. Bermula dari pengarah persembahan, artis dan krew perlu sangat ambil tahu hal ini, kerana jika semua orang tahu akan tugasan seorang DSM, ia akan banyak membantu perjalanan produksi khususnya dalam unit pengurusan pentas. 

Sekarang kita cerita apa tugas-tugas DSM..tugasan utama DSM adalah sentiasa berada disamping pengarah persembahan ketika sesi latihan sedang berlangsung. Beliau akan mencatat segala arahan pengarah seperti pergerakan keluar-masuk artis, mencatat segala perubahan pada skrip (jika ada), bertindak sebagai "prompter" (bagi line dialog jika artis lupa dialog), mencatat segala pergerakan keluar-masuk set dan prop serta posisinya sebagaimana yang telah diarahkan oleh pengarah. Pengarah pula akan sentiasa merujuk kepada DSM, jika beliau terlupa segala pergerakan tersebut khususnya keluar-masuk artis dan susun atur set atau prop. Para artis juga akan merujuk kepada DSM jika mereka terlupa pergerakan mereka. 

Apabila produksi mula memasuki panggung sebenar, tugasan DSM adalah memberi arahan "cue" kepada semua unit seperti teknikal, operator, artis dan krew. Ini bermakna DSM adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengendalikan urusan perjalanan latihan, latihan teknikal, latihan berkostum dan persembahan. 

Jadi, di mana letaknya SM? semasa latihan sedang berlangsung tugasan SM adalah memantau perjalanan latihan tersebut. Beliau boleh berada di lokasi latihan atau pejabat SM Team (jika ada). Jika ada artis yang tidak hadir pada sesuatu sesi latihan, sebagaimana jadual yang telah dikeluarkan, pada masa ini SM akan mencari jalan agar sesi latihan tidak terganggu, dan DSM tidak perlu risau akan situasi ini. Begitu juga segala persiapan set dan prop untuk latihan babak atau segmen seterusnya, akan diuruskan oleh SM bersama ASM atau krew.

Apabila produksi memasuki panggung sebenar, tugasan SM adalah akan memastikan perjalanan produksi di pentas berjalan lancar. SM pada ketika ini akan bersama pengarah, berada dalam panggung di kerusi penonton bersama pengarah bagi mencatat segala komen dari pengarah dan jika perlu memberi arahan supaya produksi berhenti seketika bagi membetulkan apa jua komen pengarah. SM akan menggunakan "intercom" atau "walkie talkie" bagi berkomunikasi dengan DSM yang ketika itu berada di "SM Desk" atau "DSM Corner" (promp stite). 

Maaf ya.. jika anda rasa lain macam jer dengan apa yang saya cuba terangkan kat atas tuu...tapi percayalah ia bukan rekaan saya ya..proses kerja dalam unit pengurusan pentas yang saya terangkan tu sudah diamalkan oleh banyak pihak di luar sana, dah bertahun-tahun lamanya..Alhamdulillah kat Malaysia pun dah ada yang mula mengamalkannya...khususnya di Istana Budaya..TETAPI ramai lagi yang tidak tahu atau tidak mengamalkannya. Apabila kita mengamalkan cara kerja yang betul, ia akan menyeronokkan kita juga dan akhirnya kerjaya belakang tabir akan menjadi sebuah kerjaya yang bersistematik dan bertaraf profesional sebagaimana kerjaya-kerjaya lain. Hari ini, ramai di kalangan generasi baru dah mula memilih pengajian dalam bidang berkaitan dengan seni persembahan pentas di IPTA seperti di ASWARA, USM, UiTM, UKM, UM, KYM, UMS, UNIMAS dan banyak lagi. Saya yakin para graduan yang memilih kerjaya ini, tidak mahu dilabelkan sebagai graduan kelas kedua kerana memilih kerjaya seni yang dikatakan kurang sistematik dan penuh dengan beremosi semata-mata. 


Sebagai makluman, budaya kerja sebegini telah pun menjadi Undang-Undang Persatuan Unit Pengurusan Pentas di UK, mereka telah menggunakan suara mereka untuk memaksa penerbit-penerbit agar mengamalkan cara yang sistematik begini. Di sana pun, dahulunya ada penerbit yang cuba mengelak cara kerja sedemikian kerana ingin menjimatkan kos produksi dengan hanya melantik SM dan ASM sahaja, tetapi hari ini mereka telah boleh menerima keadaan ini. 

Jadi, saya mencadangkan agar kita lebih terbuka menilai apa yang kurang dalam amalan kerja kita hari ini..dan bersedialah untuk membuat transformasi kearah kebaikan demi kerjaya yang kita pilih ini...:-)


Friday, June 14, 2013

Boleh Ke Manusia Hidup Tanpa Seni?

Salamm...

Maaf nak citer lain sikit dari hal backstage...tetapi berkaitan gak dengan bidang yang diceburi. Persoalan boleh ke manusia hidup tanpa seni?...ia adalah satu persoalan pokok yang selalu dibahaskan oleh banyak pihak...ada yang setuju dan ada juga yang tak setuju. Yang setuju tu pastinya orang seni..dan yang tak setuju tu kebanyakkannya bukan orang seni...tapi ada juga bukan orang seni yang setuju bahawa manusia hidup perlukan seni. Konflik tentang kefahaman seni ini telah lama wujud sejak di zaman Plato dan Aristotle lagi. Plato berpendapat seni adalah meniru dari realiti, realiti adalah hasil tiruan dari yang asli dan yang asli itu terdapat dalam ide. Ide adalah lebih unggul, lebik baik dan lebih indah dari yang nyata. Manakala Aristotle mengatakan seni adalah menyihatkan kerana karya seni yang baik akan membina kemungkinan logikal. Seni adalah bentuk atau pola abstrak alam fizikal. Seseorang akan memperolehi pengetahuan dan ilmu melalui penelitian terhadap objek atau fizikal termasuk ahli sains atau falsafah dan juga artis.

Sebenarnya banyak orang salah faham...sebab mereka merujuk seni itu terus kepada seni persembahan semata-mata. Seni itu luas maksudnya...manusia yang waras tidak boleh lari dari "seni". Contoh yang paling mudah adalah, semua orang mahukan "kecantikan", "kesempurnaan", "kekemasan", "kesenian", "keseronokan", "kegembiraan", "keaslian", "kebersihan", kedamaian", "keabadian" dan macam-macam lagi. Apabila kita menginginkan perkara-perkara yang disebutkan diatas, maknanya kita telahpun berada dalam dunia seni. 

Sebab itulah, bila musim perayaan semua orang berlumba-lumba pergi shopping sebab nak beli pakaian baru, langsir baru dan berbagai-bagai lagi yang baru. Sebabnya, kita nak nampak cantik dan sempurna semasa sambutan perayaan nanti. Ertinya, kita telah terpengaruh dengan seni la tu..Ada sesetengah orang pulak bila penat bekerja atau ada masalah peribadi, pergi ke pantai, air terjun, tengok wayang, tengok teater, mengaji Quran, bersiar-siar dan lain-lain lagi. Segala tindakan yang dilakukan itu adalalah untuk mencari kedamaian...kan?. Kedamaian itu adalah "seni". Bila kita keluar makan bersama rakan atau keluarga, kebiasaannya kita akan memilih restoran atau kedai yang bersih, signboard pulak yang cantik, berwarna-warni (macam kedai Tom Yam) dan kadang-kadang tu masakannya tidaklah sesedap mana...itulah yang menunjukkan bahawa sebenarnya kita telah terpengaruh dengan seni hiasan yang ada pada kedai itu. Seni lagi...!

Pencarian dalam seni mempunyai persamaan dengan mencari falsafah. Falsafah berasal dari gabungan dua perkataan Greek, iaitu philein yang bermaksud ‘menyintai’ dan shopos yang bermaksud ‘hikmah’. Falsafah bermaksud ‘kecintaan terhadap hikmah’ dan ahli falsafah bermaksud ‘orang yang menyintai hikmah’. Falsafah membicarakan pemikiran manusia yang ingin mencari sesuatu yang benar, tulus dan abadi. Oleh itu, menjadi seorang ahli falsafah ialah menjadi seorang individu yang mengejar dan mencari hikmah (wisdom) walaupun tidak semestinya berjaya memilikinya (Ahmad Sunawari Long 2008, 9). 

Manakala karya seni merupakan sesuatu yang indah, cantik, halus, kesempurnaan (keabadian), ketinggian, kemulian dan kebenaran. Karya seni lahir dari sebuah pemikiran yang terkandung diatas. Oleh itu, setiap karya seni mempunyai keindahannya yang tersendiri. Apabila meneliti sebuah karya seni, kita tidak boleh lari dari memikirkan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik karya tersebut. Mencari yang tersirat samada cantik, tulus, benar, abadi dan lain-lain adalah merupakan pencarian falsafah disebalik karya tersebut (Haji A. Aziz Deraman 1990, 1).


Tokoh falsafah Islam, Al-Ghazali menyatakan bahawa kesenian sebagai keindahan yang persepsi terhadapnya dicapai dalam dua tahap, tahap keindahan luar yang dapat dilihat dengan anggota mata, dan tahap keindahan batin yang hanya dapat dilihat dengan “mata hati” atau jiwa kebatinan seseorang itu (Rahmah Bujang 2007, 69).
 
Tidak dinafikan bahawa seni juga membawa kelalaian, jika ia disalahgunakan, jika kita mengaitkan dengan teori falsafah, maknanya kita mempunyai pilihan..samada ingin mencari yang baik atau yang buruk..kan?. Percanggahan itulah yang berlaku antara Plato dan Aristotle, yang juga menjadi percanggahan antara kita. Kepada para seniman, kesenian adalah cermin kebudayaan manusia dan di dalamnya terkandung unsur-unsur pergolakan hidup baik yang positif dan negatif. Seniman yang baik selalu memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan yang positif dan unggul (Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah 1997, 4). 


Jadi, kesimpulannya manusia tidak boleh hidup tanpa seni..kalau ada yang menolak lagi, maknanya orang itu bukan manusia..:-)







Thursday, June 13, 2013

Mengenali SM Team (Unit Pengurusan Pentas)

Salam..

Siapa SM tu?


Mengikut kenyataan dari The Association of Stage Management, United Kingdom, Pengurusan Pentas adalah “people management job”. Ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan boleh berurusan dengan mana-mana pihak sama ada unit artistik, teknikal dan lebih penting adalah memahami tugasan yang dilakukan oleh lain-lain tenaga produksi yang terlibat. Pengurusan Pentas terdiri dari tiga komposisi jawatan utama iaitu SM (Stage Manager), DSM (Deputy Stage Manager) dan ASM (Assistant Stage Manager).

"Staging a play or musical can be exciting, demanding and rewarding. It can also be exhausting, frustrating and chaotic. But a good stage management team can turn a potentially embarrassing production into a smooth-running, trouble-free success".(Pauline Menear and Terry Hawkins)

Di dalam tulisannya juga, mereka sependapat bahawa:

“the stage management team is the channel of communication between all the people and departments contributing to a production..”

Untuk menjadi seorang SM yang baik kena korban diri sendiri...kata orang, memang betul kata orang tu, kerana SM adalah segala-galanya, baik dan buruk perjalanan belakang tabir adalah terletak kepada kebijaksanaan seorang SM. TETAPI untuk menjadikan SM yang terbaik, perlu kerjasama dari tenaga produksi yang baik juga. SM tidak akan berfungsi dengan baik, jika hanya asyik menyelesaikan masalah yang bukan tugas SM. SM sepatutnya menguruskan perjalanan produksi agar ia berjalan seperti apa yang dirancang oleh produksi. Tugas SM adalah mengurus yang bersangkutan dengan kerja-kerja produksi dan tidak termasuk mengurus hal peribadi tenaga produksi yang lain. Sebagai contoh, bukan tugas SM untuk menjadi PA (personal assistant) kepada semua orang seperti membuat panggilan setiap kali ingin mengadakan latihan, sedangkan jadual latihan telahpun dikeluarkan. 

SM mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dari itu, seperti menjaga hal ehwal semua tenaga produksi termasuk artis, mengawal perjalanan latihan, memastikan semua ruang bersih dan selamat, memastikan semua prop tersedia untuk latihan, menguruskan keperluan peralatan teknikal, mengadakan perbincangan teknikal bagi proses bump in, memastikan keluar masuk set dan prop, memastikan sistem "cue" yang betul, memastikan semua berjalan dengan lancar, lebih-lebih lagi apabila sesi bump-in, latihan teknikal, latihan berkostum serta persembahan, dan yang lebih penting lagi adalah cuba memberikan yang terbaik kepada pengarah persembahan. 

Berdasarkan senarai tugas-tugas SM diatas, ia jelas menunjukkan bahawa tugasan SM adalah amat mencabar..kan? Selain dari tugasan-tugasan tersebut, SM juga perlu menguasai ilmu teknikal seperti rekaan cahaya, rekaan set dan prop, rekaan audio, rekaan multimedia, rekaan kostum dan solekan dan hal-hal lain termasuk ilmu keselamatan, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di belakang pentas. 

Dalam hal ini, tidaklah pula SM ingin disanjung atau dipuji yang menggunung, cukup sekadar menginginkan kerjasama yang sewajar dari rakan tenaga produksi atau artis atau pengarah persembahan, mahupun pihak atasan yang sentiasa bersama-sama menjayakan tugasan yang sama dipikul. Permintaan ini bukanlah permintaan yang janggal kerana orang lain telah pun mengamalkan budaya kerja yang sihat dan profesional sejak bertahun-tahun dahulu lagi. Jadi rasanya, kita patut bermula dari sekarang, walaupun ia sepatutnya bermula sejak kita mula-mula mengenal apa itu persembahan pentas. 

Kepada SM-SM di luar sana, anda adalah orang yang terpilih dan hebat kerana anda telah berjaya mengurus karenah manusia dan telah berjaya membawa perjalanan sesebuah produksi hingga ke penghujungnya. Sebab itulah kelayakan seorang SM adalah "calm and patient" serta "intelligent". Walaupun tugasan SM tidak glamor seperti tugasan seorang artis atau pengarah persembahan, tetapi percayalah anda tidak keseorangan kerana di luar sana anda akan dihargai atau mungkin suatu hari nanti, anda, akhirnya akan dihargai :-)

Selepas ini kita akan mengenali DSM pulak ya...


Tuesday, June 11, 2013

Kerja Backstage?

Salamm..

Kebiasaan orang menganggap kerja backstage adalah menjadi krew kepada artis atau orang depan tabir..pandangan yang cukup kuno dan ketinggalan. Tugasan orang kerja backstage telah didefinisikan secara direct berdasarkan perkataan "backstage" itu sendiri. Tugasan backstage sama dengan tugasan apa-apa kerja dalam bidang lain, dimana pelakunya tidak kelihatan tetapi peranannya sangat penting. Sebagai contoh, jika sebuah restoran ( tanpa tukang masak restoran tidak wujud), seorang penyanyi (tanpa komposer siapalah penyanyi itu), seorang ketua (tanpa anak buah ketua tidak berfungsi) dan lain-lain lagi. 

Justeru, kesedaran untuk menilai dengan cermat serta kefahaman yang matang perlu di pertimbangkan semula. Kerja orang backstage adalah merangkumi A-Z, dimana melibatkan semua peringkat perancangan sehingga kepada peringkat pelaksanaan dan pengawalan. Jika dalam urusan perniagaan, seorang pengurus akan menggunakan teori P.O.L.C ( planning, organizing, leading, controlling), ia juga terlibat dalam urusan kerja orang backstage. Orang backstage juga merancang, mengurus organisasi, kepimpinan dan pengawalan sebagaimana berlaku dalam perkerjaan lain yang disebutkan diatas. 

Mereka telah lebih awal terlibat dalam sesebuah produksi termasuk merancang mencari artis dan tenaga kerja lain. Mereka jugalah yang merancang bagi memastikan agar perjalanan belakang tabir berjalan lancar. Mereka jugalah yang memikirkan bagaimana ingin memastikan sebuah persembahan yang menarik dari segi visualnya dan hasil kreativiti merekalah yang menyebabkan seseorang artis tampil cantik dan gagah di pentas. 

Jika seseorang artis seperti penyanyi, pelakon, penari dan pemuzik menyampaikan mesej melalui senikata, dialog, gerak dan irama, orang backstage juga menggunakan cara tersendiri melalui corak dan warna sebagai cara untuk menyampaikan mesej. Gabungan antara emosi yang dihasilkan oleh artis tidak akan sempurna jika tidak disertakan oleh suasana (atmosphere) yang dilahirkan oleh orang backstage. 

Keadaan telah membuktikan bahawa penonton yang menyaksikan Muzikal Miss Saigon di London telah terkesan dengan hasil tangan orang backstage iaitu Helikopter yang turun di pentas dan telah dikenang sejak 1987 hingga kini.