Thursday, February 27, 2014

Pengurusan Artistik Yang Berkesan Tonggak Kejayaan Persembahan Pentas?

Salamm...

Saya dah agak lama tak menulis kerana busy menyiapkan tugas-tugas yang sepatutnya disiapkan kerana telah berjanji dengan diri sendiri untuk menyiapkan tugasan tersebut sebelum February 2014. Alhamdulillah tugasan tersebut tersiap juga akhirnya...:-)

Isu yang saya ingin ketengahkan pada kali ini adalah suatu isu yang banyak orang bercakap tapi tak ramai yang buat sebagaimana ia sepatutnya di buat...alasan demi alasan dikemukakan bagi menghalalkan kenapa perkara itu tidak dibuat dengan sepenuhnya...
Isu berhubung dengan definisi pengurusan artistik saya telah bincang dalam posting saya terdahulu...so, kali ini saya nak fokus kepada:

Kenapa pentingnya pengurusan artistik yang berkesan dalam menjayakan sesebuah persembahan?

PENGURUSAN ARTISTIIK adalah suatu gerak kerja dalam menentukan hala tuju sesebuah produksi khsusus dalam menentukan kualiti visual sesebuah persembahan...jangan terkeliru dengan kefahaman bahawa pengurusan artistik sebagai proses untuk menjayakan sesebuah persembahan kerana menjayakan sesebuah persembahan adalah sebuah proses PENGURUSAN PRODUKSI. 

Maksudnya, pengurusan produksi adalah sebuah proses pengurusan perjalanan sesebuah produksi dari A-Z. Proses tersebut merangkumi urusan perancangan dan pelaksanaan seperti hal kewangan, lantikan tenaga produksi, mesyuarat produksi, kontrak, latihan, pemasaran dan publisiti, kebajikan dan lain-lain lagi. Sebaliknya, pengurusan artistik adalah melibatkan penentuan program yang berdasarkan kehendak semasa penonton dan seterusnya proses perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja kreatif bagi menghasilkan sesebuah persembahan yang dapat menghiburkan khalayak melalui teknik atau kesan visual yang menarik. Ia merangkumi kerja-kerja rekaan produksi seperti rekaan set & prop, cahaya, audio, kostum, solekan, multimedia dan lain-lain lagi. Dengan erti kata lain, proses pengurusan artistik adalah sebahagian daripada proses pengurusan produksi. 

Oleh yang demikian, kerja-kerja pengurusan artistik AMAT memerlukan kepada proses pelaksanaan yang sistematik dan berkesan kerana dengan proses kerja yang berkesan sahajalah yang dapat menentukan sesebuah persembahan itu dapat dihasilkan dengan berkualiti. 

Walaupun, banyak juga orang berkata bahawa "kualiti dalam seni persembahan adalah perkara subjektif"  lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan selera manusia..Ya...memang betul tetapi kita boleh membuatkannya berkualti walaupun kualiti itu subjektif...kita tahu bahawa amat sukar untuk memuaskan hati semua orang...dalam apa-apa perniagaan atau urusan pun kita tidak dapat memenuhi kehendak semua orang...

Dalam seni persembahan, indikasi kepada kejayaan sesebuah persembahan adalah tahap penerimaan penonton terhadap sesuatu persembahan yang telah kita pentaskan..jika majoriti yang menerima apa yang kita persembahkan ia menunjukkan bahawa hasil kerja kita itu telah mempunyai kualiti kerana kepuasan penonton tidak dapat dijual beli. Penonton akan memberi respon terhadap sesuatu perkara berdasarkan naluri atau perasaan yang lahir dari suatu penumpuan yang telah dilakukan dengan sukarela bukannya dengan paksaan. Sememangnya akan berlaku ada orang yang suka dan ada orang yang tidak suka dalam apa-pa jenis persembahan pun. Sebagai contoh, ada orang tidak suka 'muzikal teater' kerana katanya muzikal teater mengganggu penghayatan penonton terhadap mesej sesebuah teater. Ini kerana muzikal teater lebih menumpukan kepada kesan visual, lagu, muzik dan tarian. Ada juga orang tidak suka kepada teater 'drama' kerana katanya drama banyak tertumpu kepada dialog, mesej, ekspresi yang disampaikan oleh para pelakon. Perkara ini berlaku dimana-mana sahaja termasuk di England, ada orang fanatik kepada 'Shakespeare' dan ada orang yang fanatik kepada 'Musical'.

Oleh itu, jangan salah faham dengan kata-kata bahawa seni itu subjektif. Sebab itu lah, pengurusan artistik yang berkesan memainkan peranan penting di sini khususnya dalam menentukan sesebuah produksi memenuhi cita rasa khalayak. 
Bagi mencapai tahak kualiti yang maksimum dalam menghasilkan sesebuah persembahan, ia hendaklah bermula denga proses rekaan produksi yang sistematik dan berkesan.

Menurut Gillette (2000, 1997), rekaan produksi hendaklah melalui pelbagai proses penting dalam menentukan ianya tampil berkualiti. Ia merangkumi 7 strategi yang perlu dilalui oleh semua tenaga pereka produksi. Strategi tersebut adalah seperti strategi commitment, analysis, research, incubation, selection, implementation and evaluation. 



1. Strategi commitment

 Strategi komitmen adalah merupakan suatu aspek yang            paling penting dalam melakukan proses gerak kerja rekaan    produksi. Seluruh tenaga perlu diletakkan bagi memastikan tugasan tersebut dapat dilakukan dalam keadaan yang terbaik. Dalam menghadapi proses ini, ia juga boleh dianggap seolah-olah seseorang itu berada dalam sesuatu masalah yang perlu diselesaikan. Walaupun, perkataan masalah mempunyai konotasi yang negatif, namun ia boleh memberi semangat kepada seseorang itu menghadapi sesuatu masalah dan jika sesuatu masalah itu ditukarkan menjadi sebagai sebuah cabaran yang perlu ditangani dengan komitmen yang jitu. Kebanyakan orang sukakan cabaran dan perkataan cabaran itu juga boleh mendatangkan keseronokan jika dikaitkan dengan aktiviti lain seperti cabaran dalam permainan atau sesuatu pertandingan. Apabila situasi sesuatu masalah itu bertukar menjadi sesuatu cabaran, situasi tersebut menjadi lebih memberangsangkan dan ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik.

2. Strategi analysis

Strategi  analisis dalam rekaan produksi mempunyai dua tujuan: 1) mengumpul segala maklumat yang dapat membantu seseorang itu mengenal pasti cabaran yang bakal dilalui, dan 2) mengenal pasti perkara yang perlu dilakukan kajian yang lebih mendalam. Gerak kerja analisis dalam sesebuah produksi adalah bertujuan memperoleh informasi dan melakukan penilaian secara khusus terhadap maklumat yang diterima. Sumber utama maklumat adalah skrip dan kalangan tenaga produksi yang terlibat seperti produser, pengarah dan para pereka. Sewaktu proses perbincangan antara tenaga pereka produksi, isu-isu penting perlu dibincangkan seperti konsep produksi, bajet, jadual produksi dan perkara yang berkaitan dengan rekaan produksi.

Sebagai contoh:

1) Siapa yang menerbitkan produksi tersebut?
2) Berapakah bajet produksi?
3) Di mana produksi tersebut akan dilaksanakan?
4) Bilakah tarikh akhir rekaan produksi?
5) Kenapa produksi tersebut dipersembahkan?
6) Bagaimana set dan prop dibawa dari tempat pembuatan
    ke pentas?

3. Strategi research

Setelah proses mengumpul maklumat selesai, ada di antara maklumat tersebut yang dirasakan kabur atau di luar pengalaman seseorang pereka, yang akhirnya menyebabkan proses kajian mendalam perlu dilakukan. Bagi tujuan itu, proses kajian latar belakang dan kajian konseptual perlu dilaksanakan.

Kajian latar belakang

Kajian latar belakang ialah sebuah proses kajian bagi mengenal pasti sejarah latar belakang (historical background) sesebuah produksi yang ingin direka. Kajian tersebut boleh dilakukan melalui buku, katalog, lukisan, bahan sejarah dan segala maklumat yang berkaitan dengan era tersebut. Pereka juga boleh melakukan kajian berdasarkan produksi-produksi yang lepas melalui foto, lakaran serta model.  Ini tidak bermakna, beliau harus meniru sepenuhnya rekaan yang terdapat dalam produksi tersebut. Ia sekadar memberi gambaran bagaimana produksi yang sedemikian pernah dilakukan atau pernah digambarkan. Pada masa yang sama pereka juga tidak boleh mereka bentuk sesuatu rekaan di luar dari sifat-sifat asal sesuatu perkara, lebih-lebih lagi jika ia tersasar dari inti pati yang terkandung dalam skrip tersebut.

Dalam aspek lain, kajian berhubung dengan corak dan warna juga mempunyai kepentingan yang tersendiri kepada pereka. Tahap kefahaman tentang penggunaan warna yang mendalam memberi peluang kepada pereka mengolah serta mengadun sesuatu warna dalam rekaan masing-masing. Sebagai contoh, kefahaman tentang psikologi warna (psychology of colour) membolehkan pereka menghasilkan idea rekaan yang tepat, sekali gus memberi penghayatan yang mendalam kepada penonton khususnya berkaitan dengan watak dan perwatakan serta hubungannya dengan alam persembahan.

Kajian konseptual

Kajian konseptual merupakan proses penyelesaian pelbagai isu atau rintangan dalam sesuatu rekaan. Sebagai contoh, pereka mungkin berhadapan dengan situasi di mana seorang pelakon wanita utama (heroin) yang memakai kostum yang cantik dalam sebuah persembahan drama dan pelakon tersebut meninggalkan pentas di akhir babak satu dan dalam jangka waktu yang singkat beliau muncul kembali dengan kostum yang sama di babak dua tetapi kostum tersebut kelihatan tidak terurus atau koyak di sana-sini. Dalam hal ini, kajian konseptual amat diperlukan bagi mengenal pasti pelbagai jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut. Kebanyakan isu yang timbul dalam melakukan kajian konseptual ialah ketidakupayaan pereka untuk berfikir bagi mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu cabaran yang dihadapi. Dalam ilmu psikologi hal sedemikian dipanggil sebagai perceptual block. Jika isu perceptual block dapat diatasi, daya pemikiran seseorang itu akan bertambah baik dan kreatif dalam menangani sesuatu isu yang dihadapi.

 4. Strategi incubation

Strategi inkubasi memberi ruang kepada sesuatu idea untuk bercambah dan seterusnya proses mematangkan sesuatu idea. Di peringkat ini, pereka akan leka dengan proses imaginasi sesuatu visual rekaan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui kajian yang telah dijalankan. Malah, di peringkat ini juga, tahap imaginasi pereka di tahap yang tertinggi dalam menggambarkan sesuatu visual yang bakal dihasilkan dalam sesuatu persembahan. Setiap pereka akan melalui proses imaginasi visual berdasarkan peranan masing-masing seperti pergerakan keluar-masuk set dan prop, pertukaran kostum, kesesuaian solekan, kesesuaian cahaya, kesesuaian muzik latar atau kesan bunyi khas, keberkesanan imej multimedia dan lain-lain lagi. Proses ini juga membantu pereka memastikan bahawa segala idea yang bakal dihasilkan menepati kehendak konsep persembahan yang telah dipersetujui. Oleh itu, proses ini memerlukan jangka waktu yang bersesuaian bagi memastikan ia berlaku dengan sebaik mungkin. Kekangan masa bagi menjayakan proses ini akan menyebabkan hasil sesuatu rekaan itu menjadi lemah dan tidak berkualiti.

5.  Strategi selection

Strategi seleksi adalah merupakan proses penentuan segala data atau maklumat yang diperoleh dan seterusnya diangkat menjadi sebuah konsep rekaan bagi sesuatu produksi. Oleh sebab, penentuan sesuatu idea rekaan oleh seseorang pereka itu berkait rapat dengan tenaga pereka yang lain, setiap idea rekaan itu hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat produksi bagi memberi ruang kepada pereka lain melakukan penyesuaian terhadap konsep rekaan masing-masing. Pada peringkat ini, pereka set akan menyediakan lakaran asas visual rekaan set bagi menggambarkan bentuk set yang dicadangkan. Sesetengah pereka set juga menggunakan model box sebagai kaedah untuk menggambarkan konsep, corak dan warna yang dicadangkan. Pereka kostum pula perlu menyediakan lakaran kostum, cadangan warna serta cadangan jenis kain. Manakala pereka cahaya akan membentangkan idea rekaan cahaya melalui gambaran suasana yang bakal dihasilkan berdasarkan setiap babak dalam skrip tersebut. Bagi pereka audio pula, beliau perlu menyediakan cadangan muzik atau sound effects yang bersesuaian bagi persembahan tersebut. Pada masa yang sama, beliau juga perlu membentangkan tentang kedudukan speaker dan fungsi setiap speaker yang dicadangkan. Proses seleksi ini akan berakhir apabila Pengarah Persembahan bersetuju atau berpuas hati bahawa segala idea rekaan yang dibentangkan menepati dengan konsep persembahan yang telah dipersetujui.

6.  Strategi implementation

Strategi implementasi akan bermula apabila segala proses perancangan rekaan berakhir dan peringkat seterusnya adalah peringkat pelaksanaan. Pada peringkat ini, semua pereka akan menyediakan segala persiapan berbentuk lakaran, pelan, model dan arahan yang diperlukan bagi proses penyediaan bahan-bahan persembahan khususnya persediaan pembuatan set dan prop, peralatan lampu, peralatan audio, pembuatan kostum dan lain-lain yang berkaitan. Proses implementasi juga melibatkan proses pelaksanaan dan pemantauan kerja-kerja persiapan di pentas dan seterusnya mengurus serta mengendali persembahan hingga selesai. Pengarah Persembahan akan memainkan peranan yang penting bagi memastikan persembahan yang dipersembahkan menepati konsep yang telah dipilih sekali gus mengawal kualiti persembahan.

7. Strategi evaluation

Strategi evaluasi boleh berlaku bermula di peringkat awal proses gerak kerja rekaan produksi atau di akhir sesebuah produksi. Proses evaluasi yang dilakukan ketika proses rekaan produksi adalah bagi memastikan segala idea dan proses merealisasikan sesuatu idea tersebut dilakukan dalam kawalan serta perancangan yang telah ditetapkan. Manakala evaluasi yang dilakukan setelah selesai produksi  adalah bagi melihat kembali ruang atau peluang yang boleh diperbaiki khususnya bagi perancangan produksi seterusnya. Semua tenaga produksi khususnya para pereka yang terlibat, perlu melihat serta menilai secara objektif hasil idea rekaan masing-masing bagi mengenal pasti kekurangan yang terdapat dalam persembahan tersebut dan seterusnya proses penambahbaikan dapat dilakukan dalam gerak kerja produksi selanjutnya. 

Semua strategi di atas telah terbukti memberi kejayaan kepada     
banyak pihak dalam menguruskan kerja-kerja pengurusan artistik     secara berkesan dan ia juga telah dijadikan sebagai working             practice bagi semua produksi termasuk produksi skala kecil             mahupun skala besar. 

So, pada saya tidak perlulah kita menafikan lagi bahawa kita             mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan sesebuah produksi di negara ini kerana cara kita itu tidak
membantu membangunkan lagi industri kreatif negara ini menjadi
suatu perniagaan yang dapat menjana ekonomi individu atau 
negara. Saya syorkan kita amalkanlah sistem yang telah 
diamalkan oleh banyak pihak dan telah terbukti berjaya itu agar
kita juga akan berjaya sebagaimana mereka kecapi...Insya'Allah.