PERANAN "SCENERY" DALAM PERSEMBAHAN PENTAS - Back Stage Call

PERANAN "SCENERY" DALAM PERSEMBAHAN PENTAS

Assalamualaikum...

Kesinambungan daripada perbincangan yang terdahulu iaitu mengenai peranan cahaya dan bunyi. Kali ini saya ingin membincangkan pula berkenaan peranan scenery dalam persembahan pentas.




Kenapa saya tertarik dengan perbincangan berangkai ini? Saya rasa semua maklum bahawa kepentingan ketiga-tiga elemen ini dalam sesebuah persembahan pentas. Tanpa membincangkan isu ini sesebuah produksi pentas tidak akan sempurna dan menjadi hambar serta membosankan. 

Kenapa dipanggil Scenery? Scenery adalah merujuk kepada latar atau visual dalam sesebuah persembahan. Ada juga dipanggil Scenic. Apabila merujuk kepada scenery, hal tersebut adalah berkaitan dengan  elemen-elemen penting yang digunakan dalam persembahan pentas seperti set dan prop, backdrop (samada daripada kanvas atau skrin). Kepentingan latar (scenery) dalam sesebuah persembahan adalah tidak dapat dinafikan lagi kerana latar adalah merupakan gambaran suasana atau visual penting yang bakal dipersembahkan kepada penonton. Kefahaman serta kemahiran dalam hal ini amat penting sekali, khususnya dalam membincangkan hal yang berkaitan dengan Scenography.

Justeru, jika latar tidak menarik, seolah-olah seluruh persembahan juga tidak menarik. Menurut Thomas, Terry (1997) “…the curtain rises. An appreciative murmur greets the scenery. Even before a word has spoken, the set designer has taken his curtain call. The scenery must then become merely a canvas upon which the action of the play is painted". Berdasarkan kenyataan Thomas, peranan scenery adalah memukau perhatian penonton serta menjadi pelengkap kepada sesebuah persembahan itu. 

Oleh itu, setiap visual yang dihasilkan hendaklah dapat memberikan makna tertentu kepada cerita atau naskah yang ingin dipentaskan kerana kerja-kerja scenery bukan sekadar menggantung atau mengatur peralatan di pentas. Malah, peranannya lebih besar dari itu yang melibatkan konsep "telling a story". Visual yang dihasilkan pula hendaklah jelas dengan konsep yang dipilih samada realism, naturalism, surelism, abstract, stylized dan simbolism. Jika salah satu konsep telah dipilih, semua rekabentuk yang lain juga hendaklah berkonsepkan yang sama samada cahaya, bunyi, kostum dan solekan. Keseragaman yang sedemikian lebih dikenali sebagai "Consistency of Design".


Sebagai seorang pereka scenery, beliau hendaklah mempunyai kebijaksanaan dalam memilih serta menentukan kesesuaian latar atau peralatan (set dan prop) agar visual yang dihasilkan dapat membantu dalam penyampaian mesej atau mood yang diharapkan. Dalam hal ini, elemen-elemen seperti "texture and colour" seharusnya menjadi ketelitian seseorang pereka ketika membuat sebarang keputusan terhadap visual sesebuah persembahan. Pada masa yang sama, seorang pereka scenery juga  harus menguasai ilmu  "symmetrical and asymmetrical design". Penguasaan ilmu tersebut dapat membantu seorang pereka menyusun atur kedudukan latar, set dan prop dengan posisi yang menarik dari pandangan penonton. 

Pemilihan sesuatu latar atau set bukannya berdasarkan apa yang kita rasa..tetapi sebaliknya apa yang naskah atau produksi ingin persembahkan. Jika naskah atau skrip menyatakan babak tersebut memerlukan sebuah rumah watak Orang Kaya. Ini tidak bererti bahawa rumah yang harus dipilih adalah rumah banglo mewah yang perabut yang indah-indah lagi tersusun. Sebaliknya, kita harus melihat personaliti watak tersebut berdasarkan tahap sosiologi atau psikologi watak Orang Kaya tersebut. Sebagai contoh, rumah Orang Kaya yang keturunannya memang kaya, kita boleh menggambarkan secara visual bahawa rumahnya kemas dan tersusun kerana disiplin kehidupan Orang Kaya telah sebati dengan kehidupan watak tersebut. Memang ada secara realiti, ada juga Orang Kaya yang tidak kemas dan tersusun. Walaubagaimanapun, apabila kita cuba menggambarkan sesuatu visual yang bersifat realism dalam sesebuah persembahan pentas, ukuran yang di gunapakai adalah sedemikian. 

Dalam satu sudut yang lain, jika kita ingin menggambarkan kehidupan watak Orang Kaya Baharu (seperti orang kaya kena loteri),  apa yang boleh seorang pereka scenery lakukan ialah dengan menggambarkan sebuah rumah yang mewah, akan tetapi susun atur perabutnya tidak teratur, pemilihan warna perabut yang tidak sekata, perabut yang dipasang tidak kena pada tempatnya dan sebagainya. 

Dalam hal ini, terdapat juga sesebuah naskah atau skrip yang tidak menyatakan dengan jelas tentang latar yang ingin digambarkan. Oleh itu, kebijaksanaan pereka scenery adalah diperlukan jika situasi sedemikian berlaku.  Apa yang boleh dilakukan oleh beliau ialah membuat "self interpretation" terhadap skrip tersebut. Seterusnya, mengadakan perbincangan dikalangan tenaga kreatif yang lain termasuk pengarah persembahan. 

Selain itu, setiap visual yang ingin dihasilkan hendaklah mempunyai unsur-unsur kekagumannya yang tersendiri agar dapat memukau pandangan penonton. Unsur-unsur kekaguman tersebut bukannya bermaksud menghasilkan scenery yang mahal-mahal serta menggunakan kecanggihan teknologi pentas semata-mata.  Hal tersebut boleh dilakukan dengan cara yang mudah seperti memilih konsep stylized atau simbolism dalam rekaan. Gabungan "texture and colour" yang menarik juga memberikan kesan kekaguman kepada penonton. 

Dalam aspek lain pula, pereka scenery hendaklah sentiasa berkerjasama dengan pereka cahaya kerana pereka cahaya adalah merupakan individu terakhir yang meletakkan warna terhadap sesuatu latar, set dan prop. Begitu juga, seorang pereka cahaya, beliau juga sentiasa mengharapkan bahawa seseorang pereka scenery sentiasa mengambil kira peranan rekaan cahaya dalam rekaan scenerynya.


Selamat berkerjasama kepada kedua-dua pereka scenery dan cahaya. Mudah-mudahan anda berdua akan bahagia kerana berkongsi rasa dalam "telling a story"..DAN jangan lupa untuk tidak meminggirkan peranan pereka bunyi dalam tugasan anda... :-)






 

Post a Comment

0 Comments