Friday, December 5, 2014

Apa beza tugasan Pengurus Produksi (PM) dan Pengurus Pentas (SM)?

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Setelah saya bincangkan tentang perbezaan pengurusan acara dan pengurusan produksi dalam post saya yang terkini...saya tak sangka pula ada yang masih confius dengan kerja-kerja pengurus produksi dan pengurus pentas. Ada yang kata sama jer!!!. Saya minta maaflah pada yang sudah faham sangat dengan tugasan pengurus produksi dan pengurus pentas ni..

Mungkin anda merasakan hal ini terlalu basic untuk diperbincangkan dan tidak perlu pun diperkatakan lagi... Tetapi percayalah...kadang-kadang apa yang kita rasakan semua orang dah tahu...rupanya ramai lagi yang orang tidak tahu..

Dengan sebab itu, saya rasa elok juga kita bincangkan tentang hal ini supaya ramai yang makin tahu dan faham dengan selok belok kerja belakang tabir ni. Mudah-mudahan dengan lebih ramai yang tahu dan faham akan membuatkan kerjaya sebagai pengurus produksi atau pengurus pentas lebih berkesan dan cemerlang. 

Jom kita bincang...tugasan pengurus produksi adalah lebih luas berbanding dengan tugasan seorang pengurus pentas. Pengurus produksi bertanggungjawab merancang dan mengurus perjalanan keseluruhan produksi. Beliau bertanggungjawab bermula dari menyediakan kertas kerja (proposal), mengenal pasti skrip atau naskah, menyediakan anggaran perbelanjaan produksi, melantik serta menyelia tenaga kerja produksi seperti pengarah persembahan, tenaga kreatif, tenaga teknikal, tenaga pengurusan pentas, artis (pelakon, penyanyi, pemuzik, penari), tenaga kerja hadapan tabir (pemasaran, publisiti, tiket, dll). Seterusnya mengatur mesyuarat produksi, melaporkan perjalanan produksi kepada produser, mengawal perbelanjaan produksi, menjaga kebajikan semua yang terlibat dan yang semestinya memastikan produksi yang dihasilkan mencapai mutu yang diharapkan dan menguntungkan samada berbentuk kewangan mahupun pembangunan khalayak. 

Beliau juga hendaklah mempunyai kebolehan memimpin dan sentiasa disenangi oleh tenaga produksi, bijak dan sabar dalam menghadapi apa jua dugaan dalam menjayakan suatu produksi. Mengaplikasikan teori Henry Fayol P.O.L.C (planning, organizing, leading, controlling) boleh membantu serta menjadi panduan untuk menjadi seorang pengurus produksi yang berjaya. 

Manakala seorang pengurus pentas pula kerjanya khusus kepada perjalanan produksi di belakang tabir sahaja. Beliau diibaratkan seperti nakhoda yang sedang mengemudi sebuah kapal. Jika salah perancangan dan hilang arah maka kapal tersebut akan melencong ke tempat lain atau berlaku malapetaka terhadap kapal tersebut. Hal ini juga boleh berlaku kepada seorang pengurus pentas, jika beliau tidak bijak mengurus perjalanan produksi yang sedang diterajuinya, maka produksi tersebut tidak berjalan lancar dan mungkin terus menemui kegagalan lebih-lebih lagi ketika persembahan sedang berlangsung. 

Seorang pengurus pentas juga hendaklah bertanggungjawab bermula daripada proses perancangan dan seterusnya mengurus perjalanan produksi, mengatur lawatan tapak (venue visit), tempat latihan, jadual latihan, persiapan teknikal, kebajikan belakang tabir, kesihatan & keselamatan belakang tabir, mengurus latihan, latihan teknikal, latihan penuh, latihan penuh berkostum dan persembahan. Beliau bertindak sebagai ketua dan menjadi tempat rujukan hal berkaitan belakang tabir. Beliau hendaklah mempunyai sifat yang sabar, bijak dan adil serta tegas dalam membuat sebarang keputusan. Seorang pengurus pentas yang TERBAIK juga mampu memahami secara teori dan praktikal tentang hal-hal yang berkaitan dengan peralatan persembahan seperti lampu, audio, multimedia, set, prop, kostum, solekan, proses rekaan dan gerak kerja kakitangan kreatif dan teknikal.

Pendekata, seorang Pengurus Produksi akan mengurus keseluruhan  perjalanan sesuatu produksi bermula daripada kerja-kerja hadapan tabir hingga kepada kerja-kerja belakang tabir, akan TETAPI seorang Pengurus Pentas hanya mengurus kerja-kerja yang berkaitan dengan belakang tabir sahaja. Pengurus pentas akan melaporkan segala perjalanan belakang tabir kepada pengurus produksi.

Berdasarkan apa yang dibincangkan diatas, saya rasa anda boleh bezakan antara tugasan Pengurus Produksi (PM) dan Pengurus Pentas (SM)...kan?

Kalau ada yang masih tidak faham atau sengaja tak nak faham...Ntahlah!!!