Tuesday, June 20, 2017

Idea Yang Baik Tapi Sayang Pelaksanaannya Ke Laut...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Huuhh!!! terlalu lama rasanya saya tidak menulis di blog saya ni kerana kesibukan dengan tugas yang menjadi-jadi banyaknya...Tak mengapalah kerana tugas kenalah laksana kan!!

Okey lah..kali ini saya nak berbincang tentang tajuk yang saya rasa memang sangat valid kerana kebanyakkan kita sebenarnya sudah faham tetapi kita selalu menghadapi suasana yang saya maksudkan ini? 

Kenapa ya? 

Saya sendiri merenung jauh kenapa perkara ini terus menerus berlaku dalam industri seni persembahan kita? dan hal ini menjadi amalan atau terpaksa kita lalui seolah-olah tiada penghujungnya. Tidak pandaikah kita atau tidak ada ilmukah kita dalam menguruskan hal sebegini? Sebenarnya kita sudah ada ilmu dan pandai dalam kerja-kerja kita tuuu...kerana ada diantara kita sudah berpuluh tahun pun buat kerja ini...maaf maksud saya kerja-kerja pengurusan acara atau pengurus produksi ini. Namun...kenapa idea yang baik tapi sayang pelaksanaannya ke laut ya? 

Teruk sangat ke kalau kita katakan projek kita ini dah ke laut? Pada saya YA jika projek kita ke laut..ini beerti apa yang kita rancang dan yang ditulis berjela-jela dalam kertas kerja itu tidak tercapai malah lebih malang lagi tidak berjaya dan sekaligus merugikan pihak yang menganjur. 

Berdasarkan apa yang saya perhati, lalui dan kaji, ada beberapa faktor yang kita kadang-kadang tersasar dalam merealisasikan idea yang kita sama-sama hasilkan tersebut. 

Antara faktor-faktornya adalah:-

1) Idea yang dihasilkan tidak mengambilkira jangka waktu pelaksanaannya.

Hal ini saya merujuk kepada proses idea yang dihasilkan adalah di saat-saat akhir (last minute) yakni terlalu hampir dengan hari pelaksanaan projek. Proses kerja sebegini tidak akan memberikan peluang kepada tenaga produksi melalui proses sebenar merekabentuk serta pelaksanaan produksi yang meliputi tujuh peringkat iaitu commitment, analysis, research, incubation, selection, implementation dan evaluation. Tujuh peringkat ini perlu dipatuhi kerana semua aspek kualiti dalam pelaksanaan sesuatu projek terdapat dalam proses ini. 

2) Percambahan idea yang tiada penghujungnya...

Dalam mengurus sesebuah acara atau produksi memang digalakkan percambahan idea dan makin banyak pihak yang memberikan idea kreatif makin bagus TETAPI haruslah ada batas dan sistemnya agar proses percambahan idea ini tidak menjadi bahan terbuang dan akhirnya tidak dapat direalisasikan. 

Contoh yang sistematik adalah dengan menggunakan proses Basic Design, Pre-Liminary Design dan Final Design. Ketiga-tiga peringkat ini juga akan memberikan peluang kepada banyak pihak untuk mengeluarkan seberapa banyak idea sekali pun asalkan berkisar kepada peringkat ini sahaja. Sebagai contoh, di peringkat Basic Design, anda boleh mencadangkan apa sahaja yang anda rasakan bersesuaian dengan program atau projek yang anda ingin hasilkan selagi berada dalam peringkat ini. Apabila sesuatu idea telah dipilih, maka sepatutnya idea baru harus diberhentikan kerana kita ingin melalui proses seterusnya.

Di peringkat kedua adalah Pre-Liminary Design, peringkat ini adalah dikenali juga sebagai peringkat perkembangan idea, dimana idea yang telah dipilih peringkat Basic Design tadi dikembangkan atau dimurnikan. Proses ini juga akan mengambil masa tertakluk kepada jangka waktu yang diperuntukan oleh sesebuah produksi.

Di peringkat ini juga akan berlaku proses sorong tarik idea bagi mencari yang terbaik diantara yang terbaik. Semua pihak tidak perlu berkecil hati di peringkat ini kerana proses ini memang mencabar kreativiti semua pihak dengan pelbagai cadangan oleh banyak pihak untuk mencari sesuatu yang berkualti dan menepati kehendak produksi atau acara. 

Proses seterusnya adalah dikenali sebagai peringkat Final Design. Di peringkat ini semua pihak tidak seharusnya menambahkan lagi idea baru kerana semua idea telah dibincangkan, dibahas dan dipersetujui di peringkat Pre-Liminary Design. Maka seharusnya diperingkat ini adalah membuat KEPUTUSAN MUKTAMAD dan semua pihak harus akur dengan keputusan tersebut dan tidak ada lagi idea-idea baru. Jika ada sekalipun hanya Minor Idea yang mungkin wujud diperingkat pelaksanaannya nanti. 

3) No Trouble Shooter...

Elakkan terdapat atau menjadi Trouble Shooter dalam sesebuah acara atau produksi kerana peranan tersebut tidak banyak membantu malah boleh membawa kepada sesebuah produksi menemui kegagalan kerana Trouble Shooter hadir tanpa melihat kepada isu sebenar dan akan membuat penilaian tanpa bersandarkan isu yang saya bangkitkan di perkara (1) dan (2) di atas. Trouble Shooter mungkin diperlukan di peringkat Design Process di atas.


4) Proses pelaksanaan yang terkejar-kejar kerana pelbagai kekangan...

Ini suatu isu yang paling serius kerana hal ini berlaku diperingkat yang bakal menentukan kualiti atau kejayaan sesebuah acara atau produksi. Walau sebaik mana pun proses pengurusan yang telah dilalui sebagaimana yang saya bincangkan di atas, peringkat ini akan menentukan segalanya. Malah, ada produksi yang dirancang cukup baik di peringkat PRA-PRODUKSI tetapi MALANGNYA di peringkat MINGGU PRODUKSI akan musnah kerana tidak cukup waktu dan terkejar-kejar untuk menyiapkan kerja diperingkat ini walaupun sedar kualiti produksi bakal ke laut...

Antara faktor yang sering tenaga produksi terkejar-kejar dalam pelaksanaannya adalah kerana isu-isu berikut:-

  • Jangka waktu BUMP IN yang terlalu singkat tidak sepadan dengan skala produksi yang ingin dihasilkan. Jika kita mempersembahkan naskah atau karya baru, kita harus melalui suatu proses yang betul dari awalnya.
  • Tidak melakukan LATIHAN TEKNIKAL (TECH RUN) dengan betul. Latihan Teknikal adalah penting kerana proses ini di kenali juga sebagai proses mengenal pasti masalah. Latihan akan dilakukan secara berulang-ulang dan hari yang paling lama serta membosankan. 
  • Tidak sempat mengadakan LATIHAN PENUH (FULL RUN THROUGH) dan terus kepada LATIHAN PENUH BERKOSTUM (FULL DRESS REHEARSAL). 
  • Dengan kekangan-kekangan diatas, maka terjadilah hari PERSEMBAHAN itu sebenarnya adalah hari FULL DRESS REHERSAL ke 2 kepada tenaga produksi.
  • Jumlah hari sewaan lokasi/venue yang terhad.
  • Kontraktor yang tidak dapat menyiapkan kerja sebagaimana tempoh yang dijanjikan.
  • Disiplin dikalangan tenaga produksi atau artis yang lemah
  • Dan lain-lain lagi..

5) Mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali...

Tidak dinafikan bahawa ada dikalangan kita mengadakan proses PASCA-PRODUKSI seperti Post-Mortem, tetapi ada juga yang tidak mengadakan proses tersebut. Proses ini sangat penting kerana kita dapat mengetahui kelemahan dan kebaikan dalam sesuatu acara/produksi yang telah kita laksanakan. Jika terdapat kelemahan HENDAKLAH kita perbetulkan dan jika terdapat kebaikan juga HENDAKLAH kita teruskan. Jangan sekadar mengadakan Post-Mortem dan selepas itu kita mengulangi kelemahan yang sama juga..

Dengan mengambil kira apa yang saya nyatakan di atas..saya fikir industri ini susah untuk maju dan berkembang menjadi sebuah industri yang mengungtungkan seperti industri-industri lain, jika kita masih berada di takuk lama. Permasalahan yang telah menjadi "RUTIN" kita dalam menjayakan sesuatu program harus dilihat semula dan diperbetulkan dengan segera...jika tidak, industri ini hanya sekadar menjadi sebuah program suka-suki semata-mata atau sekadar mengisi masa lapang orang lain yang bukan berada dalam industri ini. 

Jadi apakah matlamat kita sebenarnya...? Adakah kita sekadar menjayakan sesebuah acara atau produksi (sekadar ada sahaja) atau MAHUKAN industri yang kita pelopori ini menjadi sesuatu kerja yang menguntungkan kepada industri, syarikat atau individu yang ingin hidup cari makan dalam industri ini.

SAMA-SAMALAH KITA SERIUS MEMPERBAIKINYA...!!!











Friday, December 4, 2015

Jadilah Seorang "Tauke" dan "Tukang" Yang Bijaksana!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Saya doakan semoga sahabat alam maya semua sihat walafiat hendaknya. Beberapa hari lepas saya di undang menjadi salah seorang dari panel luar peperiksaan akhir pelajar sebuah universiti di KL. 

Pelajar yang dinilai itu telah dinilai secara khususnya berkaitan dengan bidang Pengurusan Produksi sebagai bidang major pengajiannya. Isu yang saya ingin bincangkan pada kali ini adalah berkaitan apa yang saya kongsikan semasa sesi VIVA pelajar tersebut iaitu "Antara Tauke dan Tukang". 

Semua orang tahukan apa Tauke kan? Mengikut Kamus Dewan Tauke adalah merujuk kepada "tuan punya sebuah kedai atau tuan punya sebuah perniagaan atau saudagar". Dengan erti kata lain Tauke juga merupakan individu yang mengawal dari segala segi terhadap organisasinya. Manakala "Tukang" ialah perkerja atau individu yang melakukan atau membuat sesuatu tugasan atau perkerjaan. 

Istilah Tauke dan Tukang ini juga dalam bahasa pasarnya selalu dikaitkan antara "Boss dan Kuli". Walauapapun istilahnya, saya melihat isu ini adalah suatu perkara yang menarik untuk kita bincangkan khususnya dalam konteks seni persembahan pentas. Hal ini juga sering saya perkatakan kepada pelajar-pelajar yang sempat menjadi "anak murid" saya khususnya dalam mukadimah kelas atau sesi pertemuan saya dengan para pelajar Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, ASWARA di awal semester. 

Saya selalu menyebut ungkapan "Jadilah seorang Tauke yang baik serta memahami kerja seorang Tukang dan jadilah seorang Tukang baik serta memahami kerja seorang Tauke". Ungkapan ini sebenarnya amat memberi makna dan pengertiannya yang tersendiri kepada kedua-dua posisi penting iaitu antara Tauke dan Tukang itu. 

Jadi, bagaimana saya kaitkan posisi Tauke dan Tukang tersebut dalam industri seni persembahan. Dalam seni persembahan yang saya kategorikan sebagai Tauke adalah seperti Penganjur, Penerbit, Pengarah Persembahan, Pengarah Artistik, Pengurus Acara, Pengurus Produksi, Pengurus Pentas dan lain-lain jawatan yang bergelar pengarah atau pengurus dalam sesuatu acara atau produksi. Mereka ini adalah merupakan pengawal kepada semua aspek dalam organisasinya. 

Manakala Tukang pula saya kategorikan semua kakitangan pelaksana yang menyokong atau yang melaksanakan tugasan yang diarahkan oleh pengurus atau pengarah masing-masing. Antara jawatan dalam posisi tukang adalah seperti Pereka Set/Prop, Pereka Cahaya, Pereka Kostum, Pereka Audio, Pereka Solekan, Pereka Multimedia, kakitangan teknikal dan semua pembantu-pembantu produksi. 

Gerak kerja bidang apa sekali pun tidak dapat lari daripada kepentingan keharmonian hubungan di antara Tauke dan Tukang bagi mencapai kejayaan yang maksimum dalam sesuatu perkerjaan atau organisasi. Apatah lagi, dalam industri kreatif yang memerlukan suasana kerja yang kondusif serta melibatkan suatu penghasilan kerja yang melibatkan pemikiran kreatif, kritis dan inovatif. Menjadi seorang Tauke dan Tukang dalam seni persembahan amat menuntut seseorang itu berada ditahap kefahaman dan kepakaran serta amalan kerja yang baik dan bijak demi mencapai objektif yang diharapkan. 

Antara ciri-ciri Tauke yang dapat menghasilkan suasana kerja yang baik dan bijaksana dalam seni persembahan adalah seperti:

1) Mempunyai kemahiran ilmu teori dan praktikal dalam bidang
    yang anda terajui atau anda uruskan. 
2) Jadilah seorang pembimbing atau sekurang-kurangnya sahabat
    kepada Tukang-Tukang anda bukan sebagai
    seorang Tauke yang mimilih untuk dihormati sebagai Boss
    semata-mata. 
3) Bertindaklah sebagi Fasilitator dengan Tukang-Tukang anda
    bukannya Diktator. 
4) Kenalilah personaliti Tukang-Tukang anda kerana mereka juga
    telah mengenali personaliti anda. 
5) Tunjukkan bahawa anda amat memerlukan kerjsama Tukang-
    Tukang anda demi mencapai objekif bersama. 
6) Ketahuilah apa jua masalah yang dihadapi oleh Tukang-Tukang
    anda kerana ia juga menjadi masalah anda. 
7) Percayalah bahawa Tukang-Tukang anda juga mempunyai 
    persamaan emosi dan pemikiran macam anda.
8) Pemikiran kreatif Tukang-Tukang anda akan mati apabila emosi
    mereka mati. 
9) Anda harus percaya bahawa kerja kreatif "is about a
    collaborative of all designers or a group of people's ideas to
    become single piece of work". 

Antara ciri-ciri Tukang yang dapat menghasilkan suasana kerja yang baik dan bijaksana dalam seni persembahan adalah seperti:

1) Ketepikanlah masalah diri anda demi tugasan yang
    dipertanggungjawabkan kepada anda.
2) Lakukan setiap tugasan anda dengan terbaik ditahap tertinggi 
    keupayaan anda.
3) Percayalah diri anda sebenarnya yang terbaik setelah anda 
    diberikan kepercayaan menjalankan tugasan anda.
4) Ikutlah nasihat Tauke anda kerana mereka sentiasa 
    inginkan yang terbaik dari anda.
5) Fahamilah apa yang Tauke anda maksudkan bukannya apa yang
    anda faham.
6) Sentiasa bersedia menerima apa jua teguran dari Tauke anda
    kerana Tauke anda lebih tahu dari apa yang anda tahu.
7) Letakkanlah 100% dedikasi anda terhadap tugasan anda.
8) Tunjukkanlah keikhlasan anda terhadap Tauke anda. 
9) Percayalah bahawa Tauke anda tahu apa yang anda lakukan.


Ciri-ciri seorang Tauke dan Tukang yang baik sebagaimana yang saya catatkan diatas merupakan sebahagian daripada pengalaman saya yang pernah menjadi Tauke dan Tukang dalam industri seni persembahan pentas. Jadi, anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan catatan saya atau mungkin anda mahu tambah lagi ciri-ciri tersebut. Dipersilakan!!!





Thursday, November 26, 2015

Strategi Pemasaran Untuk Produk Seni Persembahan

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Semoga anda semua sihat walafiat...pada kali ini saya memilih tajuk yang berlainan sedikit dari apa yang selalu saya bincangkan selama ini...topik ini juga adalah permintaan dari seseorang yang juga pembaca setia blog saya pun...

Mungkin ramai di luar sana mempunyai pandangan yang berbeza tentang topik yang ingin saya bincang ini...tak mengapa lah...ilmu dan kemahiran masing-masing itu memang selalunya berbeza-beza...saya menulis ini berdasarkan sedikit pengalaman saya sebagai pengurus program kebudayaan yang telah saya harungi selama puluhan tahun...dan pada masa yang sama membaca buku-buku berkenaan Markerting of the Arts serta berkongsi pengalaman dengan mereka-mereka yang lebih maju dari segi teori dan praktis dalam hal mengatur strategi pemasaran bagi produk seni persembahan. 

Sebenarnya apa-apa produk pun..kalau kita tengok strategi pemasarannya adalah sama sahaja iaitu ingin memastikan bahawa produk tersebut dapat diketahui oleh pengguna...pengguna yakin untuk membelinya dan seterusnya syarikat pengeluar memperolehi keuntungan. Justeru, sesebuah syarikat pengeluar itu akan memikirkan pelbagai teknik bagi memastikan produknya berjaya memasuki pasaran. Kebanyakkan kita tahu kan formula "the law of demand" dan "the law of supply". Formula bisnes biasa jer ni...maksudnya "selagi ada permintaan, selagi itulah kita bagi". Kan biasa dalam apa-apa perniagaan pun..termasuklah kedai keropok lekor, kedai jagung, kedai tom yam, kedai mamak dan lain-lain lagi lah. Kedai-kedai sebegini tumbuh macam cendawan kerana ada permintaan lah tuu..bila ada permintaan maka ramai yang buka kedai tuu..:-) 

Jadi, dalam bidang seni pun sedikit sebanyak juga terpengaruh dengan trend perniagaan sebigini. Mana yang orang paling suka, produk itulah yang menjadi pilihan produser..kan? Itulah sebabnya teater muzikal menjadi pilihan banyak orang di IB tu. Saya dah cakap kat atas tu...strategi pemasaran adalah bagaimana nak buat untung dengan produk yang dijual. Tetapi, ini tidak bermaksud bahawa IB harus mementaskan produk muzikal sepanjang masa, kerana IB mempunyai tanggungjawab lain dalam mengangkat pelbagai genre seni lain seperti tarian, muzik, drama dan lain-lain lagi. 

Memasarkan produk seni walaupun ada persamaan dengan strategi produk-produk harian yang lain. Namun, kaedah menjual produk seni tidaklah sama 100% dengan kaedah yang diamalkan oleh perniagaan-perniagaan lain.  Produk seni persembahan bukannya diukur melalui rasa sedap, wangi, pedas, masing, manis dan lain-lain tu. Oleh kerana perbezaan itu, strategi pemasaran produk  seni harus mempunyai strateginya yang tersendiri. 

Banyak faktor yang boleh dijadikan panduan dalam mengatur strategi pemasaran produk seni ini. Antaranya adalah seperti menyediakan suatu perancangan yang rapi, yakni suatu strategi yang lengkap dan sistematik dalam menangani isu pemasaran mahupun promosi.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti:

1. Sasaran penonton - umur, perkerjaan, tempat tinggal, minat, 
    latar belakang sosial,  keuntungan kepada penonton dan nilai 
    artistik.
2. Penonton baru di kejarkan, penonton lama jangan di tinggalkan.

3. Kenapa penonton patut hadir ke persembahan kita?

    3.1 Pengalaman @ enjoyment yang disajikan?
    3.2 Kualiti persembahan?
    3.3 Reputasi penganjur?
    3.4 Persembahan yang unik? 
    3.5 Kemudahan ke tempat persembahan?
    3.6 Pengangkutan?
    3.7 Tempat letak kereta?
    3.8 Value for money?   

Isu-isu yang saya senaraikan di atas adalah terpakai kepada semua jenis persembahan. Mungkin itu hanya sebahagian sahaja yang saya dapat senaraikan. Saya percaya banyak lagi dan ia bergantung kepada jenis produksi yang kita jayakan. Itu lah yang saya maksudkan diatas bahawa perlu ada perancangan yang rapi dalam menangani isu pemasaran ini. 

Jika anda perasan juga, bahawa isu pemasaran ini juga adalah amat berkait rapat dengan produksi itu sendiri..kan? Hal ini bukan sahaja terletak kepada unit pemasaran semata-mata. Ia berkait dengan banyak perkara.. kan? Dari isu 3.1 hingga 3.8 itu banyak pihak yang terlibat. Penonton yang datang menyaksikan produksi kita juga mempunyai perasaan yang sama dengan kita yang pergi menyaksikan produksi orang lain. Persoalan sama di atas akan bermain di kepala kita..kan? Jadi, seharusnya lah kita mengambil strategi pro-aktif dalam isu-isu di atas jika mahu memastikan orang datang menyaksikan produksi kita. 

Walaupun, nampak sedikit sahaja, yakni 8 perkara sahaja tetapi gerak kerja yang harus dilakukan adalah banyak dan memerlukan sebuah pasukan produksi yang saling memahami akan kepentingan strategi pemasaran ini.  

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas bahawa menjual produk seni bukannya dipengaruhi oleh deria rasa iaitu lidah yang tergantung kepada rasa sedap, manis, masing dan sebagainya.  Menjual produk seni adalah menggunakan 2 deria iaitu deria Mata dan deria Telinga (sight and sound). "Kesedapan" produk seni adalah terletak kepada "satisfaction" setiap penonton terhadap apa jua yang dilihat dan apa jua yang didengar oleh setiap penonton itu. 

Satisfaction itu adalah tergantung kepada perkara yang terdapat pada isu 3.1 hingga 3.8 itu. Walaupun, mungkin ada isu lain yang wujud tetapi saya percaya bahawa isu-isu di atas merupakan isu utama harus di beri perhatian yang sewajarnya oleh setiap produksi. 

   

 


 


Wednesday, September 9, 2015

Perbezaan Creative Thinking dan Critical Thinking...Bagaimanakah anda?

Salammm...

Rajin pulak nak menulis...beberapa hari lepas dah menulis...sambung pulak hari ini..tengah rajin katakan...:-) Sebenarnya nak bagi semangat kat kepala dan tangan ni meneruskan penulisan buku yang tertangguh..hehe..

Maafkan saya perbincangan ini agak panjang...tajuk perbincangan kali ini agak akademik kerana ia melibatkan suatu teori yang rumit dan mengelirukan. Saya akan cuba sebaik mungkin membuat perbandingannya. Tulisan ini juga merujuk kepada beberapa buku yang telah saya baca dan saya amat memahaminya secara teori dan praktikal.  

Tajuk yang saya pilih kali ini adalah "Perbezaan Creative Thinking dan Critical Thinking...Bagaimanakah anda?". Saya memilih tajuk ini kerana ingin berkongsi pemahaman dan amalan yang saya gunakan dalam kerjaya saya sebagai pensyarah dalam bidang ini dan sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri seni kreatif khususnya seni persembahan. Dalam pada itu, topik-topik yang sebutkan di atas selalu ajer orang sebut...tapi apakah maksudnya dan bagaimana untuk menggunakannya. Itu yang saya nak berkongsi tu..

Ramai orang setuju...kehidupan hari ini memerlukan kita mempunyai pemikiran yang kreatif ...kalau tidak, katanya susah nak cari makan! Tapi...


Apakah yang dimaksudkan Creative Thinking tu..?

Menurut Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2005) "...pemikiran kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut". Semua teknik berfikir yang dicipta oleh para pakar adalah untuk menolong kita mengatasi pelbagai rintangan dengan daya kreativiti. Dengan teknik-teknik pemikiran kreatif juga dapat menfokuskan pemikiran kita dalam menyelesaikan sesuatu masalah.  

Sebagai contoh:
    • Kita dapat memecahkan masalah dengan lebih teratur. 
    • Fikiran menjadi lebih jernih sepanjang masa kita sedang berfikir.
    • Ia dapat menenangkan fikiran bawah sedar kita.
    • Dapat menghasilkan idea-idea baharu.  
    • Menolong kita mengelakkan kegagalan.
    • Menolong kita bersikap positif pada kegagalan yang kita alami.
    • Dapat menajamkan lagi bakat semulajadi kita sebagai seorang  yang kreatif.

    Apabila berfikir dengan menggunakan stail kreatif, matlamat berfikir ialah untuk menghasilkan:

    • Pelbagai persepsi
    • Pelbagai konsep
    • Pelbagai idea
    • Pelbagai cara menyelesaikan masalah
    • Pelbagai cara meleraikan konflik
    • Pelbagai reka cipta
    • Pelbagai strategi dan taktik
    • Pelbagai prosedur kerja
    • Pelbagai teori
    • Pelbagai hipotesis
    • Pelbagai peraturan
    • Pelbagai hasil perundingan    

    Manakala perkara yang ditimbulkan apabila berfikir secara kreatif adalah:

    • Kita perlukan idea baharu
    • Ada atau tidak cara-cara lain?
    • Cuba cari kaedah-kaedah yang lebih mudah
    • Ada atau tidak cara lain untuk menerangkan perkara ini?
    • Tolong fikirkan kemungkinan-kemungkinan lain
    • Kita tak mahu lagi penyelesaian cara sekarang
    • Cara ini belum dicuba
    • Ini idea lama. Tentu ada cara lain.     

    Pedekata, pemikiran kreatif adalah pemikiran yang bersifat positif, membina dan bukan menghapuskan idea. Ia juga adalah keupayaan seseorang untuk melihat sesuatu dengan cara yang berbeza daripada orang lain. Atau keupayaan seseorang untuk melihat sesuatu melalui pelbagai persepsi, melakukan satu-satu kerja dengan pelbagai cara, melakukan kerja dengan cara baharu, memberi makna baharu kepada sesuatu kerja atau memberi nilai tambah baharu kepada sesuatu perkara (Maimunah Osman, 2005)

    Dalam melaksanakan tugasan seharian, tidak kira siapa kita seharusnya mempunyai pemikiran kreatif sebegini. Itulah yang dimaksudkan sesetengah orang bahawa hidup kita ni kena kreatif, kalau tidak susah untuk cari makan...Apatah lagi jika anda menjadi orang seni kerana pemikiran kreatif anda hendaklah lebih hebat lagi kerana anda sebenarnya ingin menakluki pemikiran kreatif orang lain. 

    Tapi AWAS kerana pemikiran kreatif kebiasaannya berlawanan dengan Pemikiran Kritikal (Critrical Thinking). Pendapat Critical Thinking pula selalu bertentangan dengan pemikiran kreatif kalau tidak ditanggani dengan bijaksana kerana proses pemikirannya berbeza di antara keduanya.

    Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan Critical Thinking? 

    Critical Thinking atau pemikiran kritikal ini berasal daripada bahasa Yunani 'kritikos' yang bermaksud 'mampu menilai'. Pada masa ini perkataan kritik mempunyai konotasi negatif. Kegiataan mengkritik sentiasa bermakna membuat kritikan negatif, iaitu mencari kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Ketiga-tiga aktiviti itu adalah aktiviti serangan, cemuhan dan kutukan (Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 2005).

    Pemikiran kritikal berfungsi seperti perbuatan membuang antah daripada beras. Pada asalnya pemikiran kritikal dicipta untuk membuang kesilapan, kekeliruan dan andaian-andaian yang salah. Dengan membuang semua antah dalam beras, yang tinggal adalah beras belaka. Oleh itu, pemikiran kritikal tidak dicipta untuk menghasilkan klon-klon beras yang lebih baik, mahupun untuk menokok tambah agar beras itu bertambah banyak. 

    Mencari kesilapan memang berguna. Ia dapat menghindarkan kesilapan itu daripada diulang dan kesilapan itu dapat dibetulkan. Begitu juga dengan kelemahan. Ia dapat digunakan untuk memperbaiki kelemahan itu, supaya idea menjadi lebih sempurna. 

    Pemikiran yang hanya mampu mencari kesilapan dan kelemahan tidak cukup untuk membolehkan kita mencapai keberkesanan intelektual. Pemikiran ini adalah berdasarkan kepada andaian yang berbahaya, iaitu segala keperluan hidup boleh dipenuhi sekiranya kita mahir mencari kesilapan. Andaian ini percaya kalau kita dapat menghindari semua kesalahan, maka kita dapat mencipta kebaikan. Ini seperti percaya sekiranya kita dapat mencari kelemahan-kelemahan kereta lembu, kita dapat mencipta kereta bermotor? Dengan membuang semua kelemahan kereta lembu, dan akhirnya menggantikannya kereta lembu dengan kereta bermotor, ia tidak menyelesaikan permasalahan kereta lembu, kerana kereta bermotor bukan kereta lembu.

    Pertembungan antara pemikiran kreatif dan pemikiran kritikal akan memberi banyak kesan negatif kerana ia membunuh pertumbuhan idea-idea baharu dengan mematahkan semangat orang yang cuba menghasilkan idea-idea baharu. Pemikiran kreatif mengeluarkan idea-idea baharu yang terkeluar daripada paradigma sedia ada dan mencipta paradigma baharu, tetapi pemikiran kritikal menilai idea-idea baharu itu dalam konteks paradigma lama. Sudah pasti idea-idea baharu itu akan menerima penilaian negatif oleh pemikiran kritikal. 

    Berdasarkan penerangan diatas, hal ini terbukti berlaku dalam kehidupan seharian kita..kan? Percanggahan pendapat itu kadang-kadang menyebabkan kita naik rimas dan akhirnya hilang semangat atau berputus asa dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kenapa hal ini timbul? Jawapannya... kerana kita tidak memahami apa fungsi kedua-dua pemikiran tersebut dan meletakkan kedua-duanya ditempat yang salah.  

    Kedua-dua teknik pemikiran tersebut amat berguna dalam kehidupan kita seharian. Kebijaksanaan kitalah yang dapat menentukan kaedah mana yang bersesuaian berdasarkan sesuatu masalah yang kita dihadapi.

    Melalui pengalaman saya sebagai pemikir kreatif...kedua-dua ilmu tersebut amat berguna dalam merangka sesuatu idea baharu bagi sesuatu program atau acara baharu yang ingin dipersembahkan kepada khalayak. Proses pemikiran kritikal menjadi pedoman atau panduan bagi melaksanakan pemikiran kreatif. Akan tetapi,  penyelesaiannya tetap menggunakan teknik pemikiran kreatif kerana isu dan permasalahan yang saya hadapi adalah isu kreatif.

    Bagaimanakah Anda?