KENAPA "TECHNICAL REHEARSAL" ITU PENTING? - Back Stage Call

KENAPA "TECHNICAL REHEARSAL" ITU PENTING?

Salamm...

Apabila saya menyebut persoalan di atas, mungkin ramai yang berkata-kata memang lah penting...tak perlu dipersoalkan lagi...semua orang tahu pasal tuu...:-)

Betul tu...ramai orang dah tahu...tapi ramai lagi yang tak faham atau sengaja tak nak faham..sebab itulah saya kemukakan persoalan kenapa technical rehearsal itu penting..percayalah masih ada lagi yang keliru tentang maksud 'Technical Rehearsal'. 'Technical Rehearsal' juga dikenali sebagai 'Latihan Teknikal' di Malaysia. Sesetengah orang menganggap technical rehearsal ni adalah latihan untuk unit teknikal seperti unit lampu, audio, set, multimedia, unit pengurusan pentas, krew dan sebagainya yang berkaitan dengan peralatan teknikal sahaja. 



Sebenarnya 'Latihan Teknikal' adalah latihan bagi semua orang termasuk unit teknikal dan artis yang terlibat dalam sesebuah persembahan tersebut. Mengikut pengalaman saya, ada juga artis menganggap latihan teknikal ini untuk teknikal sahaja, dan mereka tidak perlu datang. Ada juga kes, dimana artis itu datang, apabila latihan teknikal berlangsung, perjalanan latihan tersebut akan berhenti seketika dan menyambung kembali, berulang-ulang kali untuk membetulkan kesilapan samada dari unit teknikal atau juga dari pihak artis. Ada sesetengah artis mula menunjukkan muka kurang senang dan berkata "kalau teknikal belum sempurna lagi kenapa suruh artis datang?". Di sinilah yang saya katakan ada orang masih lagi tidak faham apa itu latihan teknikal atau technical rehearsal itu. Ada juga pihak pengurusan atasan agensi seni tidak mengambil berat dengan istilah dan amalan latihan teknikal ini. 

Mengikut Peter Dean (2002):

"The Technical Rehearsal (or tech) is the point at which all aspects of a production are put together on stage for the first time. The show is worked through in sequence, getting every aspect right. A tech can last for several days, or in the case of major West End or Broadway musicals, weeks". 

Mengikut Hawkins & Menear (1988 & 1993) :

"Technical Rehearsal, everything should be ready, available and working for this rehearsal. This is the time for the technical and backstage staff to rehearse their part in the production and for the actors to get used to the stage, set and props. Technical rehearsals are often long and always hard work. They require a great deal of concentration and patience from all concerned". 

Sesebuah produksi yang tidak mengamalkan sistem latihan teknikal yang berkesan dan bersistematik akan menghasilkan sebuah persembahan yang "huru -hara" dan memalukan pihak pengurusan sesebuah organisasi itu sendiri. Latihan teknikal memerlukan peruntukan masa yang secukupnya bagi memastikan semua idea yang diputuskan oleh sesebuah produksi dapat direalisasikan di pentas. Idea-idea yang datangnya dari pengarah, artis, pereka-pereka, teknikal, SM Team dan lain-lain perlu dilakukan dengan teliti dan teratur bagi memastikan kualiti sesebuah persembahan itu. Jika masa untuk merealisasikan idea-idea tersebut tidak diambil kira dengan sewajarnya, ia akan merosakkan semua idea dan akhirnya menghasilkan sebuah persembahan yang tidak berkualiti dan kelam kabut. 

Hari ini industri seni persembahan kita amat ketara melanggar prosedur ini, ia berlaku tanpa sedar dan sedar. Kita akan dapat menilai samada sesebuah persembahan itu melalui proses latihan yang mantap atau tidak, apabila persembahan tersebut dipersembahkan kepada khalayak. Persembahan yang kemas dan teratur atau menghiburkan, akan menggambarkan bahawa produksi tersebut telah dilakukan dengan cermat dan teratur sebelum menemui penonton. Sebaliknya, jika persembahan sesebuah produksi tidak lancar, banyak masalah teknikal, artis yang 'fumble', ia menunjukkan bahawa produksi tersebut tidak dilakukan sebaik mungkin. 

Proses latihan teknikal adalah penentu kepada kelangsungan perjalanan sesebuah produksi. Jika sesebuah produksi tidak mengamalkannya dengan betul dan sistematik akan merosakkan perjalanan seterusnya seperti Latihan Penuh Berkostum (Full Dress Rehearsal), Persembahan Pra-Tonton (Show Preview) dan Persembahan (Performance). Dalam proses latihan teknikal akan memberi peluang kepada semua yang terlibat untuk memperbetulkan serta memperhalusi semua aspek penentu kepada kejayaan serta kualiti sesebuah persembahan. 

Kecenderungan untuk tidak mempedulikan permasalahan ini juga, akan memberi tekanan kepada pihak tenaga produksi yang terlibat di belakang pentas, kerana mereka terpaksa mempersembahkan sebuah persembahan yang mereka sendiri tidak bersedia untuk mempersembahkannya kepada penonton. 

Oleh itu, pada pandangan saya, jika kita ingin industri kita menjadi sebuah 'real industri' kita memerlukan sebuah paradigm baharu dalam kerja-kerja mengurus industri seni persembahan kita. Semua pihak yang terlibat samada pentadbir, tenaga produksi, tenaga kreatif, artis, tenaga teknikal dan sebagainya perlu memahami setiap proses dalam menjayakan sesebuah persembahan, demi meningkatkan kejayaan industri yang kita ceburi ini. 

Kita dan kita-kitalah bakal penentu yang akan mencorakkan samada industri seni persembahan kita ini akan menjadi sebuah 'real industri' atau sekadar menjadi pengisi hobi...:-)






Post a Comment

0 Comments