Wednesday, July 3, 2013

Isu Keselamatan Pentas: Beringat Sebelum Kena!

Salamm...

Isu yang saya bangkitkan diatas adalah antara isu-isu yang kurang diberi perhatian oleh banyak pihak dalam pengurusan sesebuah produksi. Malah boleh dikatakan isu ini hanya di pandang sepi, dan dianggap tidak perlu diberi perhatian yang serius selagi tidak ada insiden yang boleh mengancam nyawa manusia berlaku. Tidak dinafikan ada sesetengah pihak yang mengambil berat akan isu ini, tapi rata-rata masih banyak lagi pihak-pihak yang tidak meletakkan keutamaan tentang isu keselamatan ini. Mereka hanya  mementingkan tarikh persembahan yang seharusnya berlangsung mengikut perancangan yang telah ditetapkan, walaupun pada asasnya persembahan tersebut dalam keadaan berisiko tinggi, samada risiko kepada para pekerja pentas, artis atau penonton yang hadir.

Hal ini timbul, apabila mereka tidak mengambil berat soal bagaimana dan jangkamasa persiapan sesebuah produksi patut dilaksanakan. Pengamalan isu-isu keselamatan bermula daripada proses persiapan pentas, persiapan teknikal, latihan, latihan penuh berkostum dan persembahan. Malah, ia bermula lebih awal lagi, yakni pada peringkat rekaan produksi, samada rekaan set dan props, rekaan pentas, pemilihan peralatan teknikal, penentuan lokasi persembahan dan sebagainya. 

Dalam amalan pengurusan keselamatan (H&S), walau secanggih mana sekalipun sesuatu idea, jika ia tidak selamat untuk direalisasikan, idea tersebut akan dilupakan atau dipertimbangkan dengan idea alternatif. Dalam hal keselamatan, ia tidak di perdebatkan samada ia adalah atas arahan atau atas keperluan produksi. Ini tidak bermaksud bahawa isu keselamatan menjadi  penghalang kepada kreativiti. Malah, kreativiti akan lebih mencabar jika sesuatu idea itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, walaupun idea tersebut dikatogerikan sebagai idea yang berisiko tinggi. Ini dapat dibuktikan dalam Muzikal Phantom of the Opera, bagaimana sebuah lampu 'chandelier' yang seberat melebihi 300kg terbang melayang di atas kepala penonton dan seterusnya berhenti dengan tepat dihadapan seorang pelakon dan kedudukan lampu tersebut hanya berada di paras beberapa inci sahaja dari lantai pentas. Babak tersebut amat mengerikan samada pelakon, penonton dan juga tenaga produksi yang terlibat.

Jadi, bagaimana idea tersebut dilakukan dan bagaimana isu keselamatan diambil kira? 

Sebenarnya, idea menerbangkan lampu tersebut bukan hanya melibatkan tugasan atau hasil tangan pereka set atau prop semata-mata. Ia telah melihatkan banyak pihak dalam merealisasikan idea tersebut. Saya telah diberitahu oleh pengarah teknikal muzikal tersebut, bahawa bagi menjayakan idea tersebut, selain dari pereka set, ia telah melibatkan tiga orang jurutera iaitu jurutera eletronik, jurutera elektrik dan jurutera makanikal. Ketiga-tiga mereka telah bekerjasama untuk menjayakan unsur kekaguman tersebut dengan selamat. Dari aspek lain pula, proses melatih babak tersebut memakan masa yang lama bagi memastikan ia betul-betul selamat untuk digunakan. 

Produksi kita tidak mengamalkan sistem sedemikian, tetapi ingin mencipta suatu keajaiban di pentas dengan menggunakan andaian-andaian yang dirasakan betul, tetapi sebenarnya andaian tersebut adalah tidak tepat dan berisiko. Oleh kerana desakan kerana ingin melihat aspek 'spectacular' dalam persembahan, idea tersebut terpaksa dilaksanakan juga walaupun pada asasnya tidak diketahui samada idea tersebut selamat atau tidak. 

Bagaimana menilai tahap keselamatan? 

Individu yang seharusnya bertanggungjawab secara langsung terhadap isu-isu keselamatan di belakang pentas adalah seperti Pengurus Produksi, Pengarah Teknikal dan Pengurus Pentas. Mereka harus merangka suatu perancangan terhadap langkah-langkah keselamatan yang patut diambil dalam sesebuah produksi. Bagi urusan keselamatan penonton, individu yang harus bertanggungjawab adalah pengurus panggung (house manager). 

Ciri-ciri penilaian keselamatan (risk assesment) yang diamalkan oleh Health & Safety Executive, England dalam buku The Event Safety Guide (1999) adalah:


  • Kenal pasti punca kemalangan?
  • Siapa yang bakal terlibat?
  • Apakah kesannya?
  • Bagaimana untuk mengelakkannya?
  • Bagaimana untuk memaklumkannya?


Kelima-lima kriteria diatas menjadi panduan dalam menentukan prosedur atau penilaian keselamatan yang akan dipatuhi oleh semua pihak. Jika jawapan bagi kelima-lima kriteria tersebut memberi jawapan kepada tahap risiko yang tinggi, sesuatu keputusan perlu dibuat dengan serta-merta dan tiada kompromi.

Pada masa yang sama, sistem pengurusan keselamatan hendaklah dipantau dan diselia pada setiap masa. Antara proses pengurusan keselamatan yang perlu ditekankan ialah:


  • Sediakan polisi keselamatan
  • Pastikan ia diamalkan oleh semua pihak
  • Pastikan cara yang sesuai untuk menyampaikan polisi
  • Kawal selia tahap keselamatan
  • Post-Mortem (review)


Dalam hal keselamatan, sepatutnya penonton juga mempunyai hak dalam menentukan tahap keselamatan ketika mereka menonton. Mereka berhak untuk memastikan bahawa mereka menonton dalam keadaan selesa dan selamat. Walaubagaimanapun, penonton di negara ini juga tidak sedar dan tidak mengambil tahu tentang hak keselamatan mereka, selagi tidak ada insiden menimpa mereka. 

Sebagai contoh di Istana Budaya, pada bahagian 'proscenium arch' pentas Istana Budaya telah dibina sebuah dinding yang dipanggil 'fire curtain'. Tujuan pembinaan 'fire curtain' itu adalah menepati piawaian antarabangsa, yakni jika berlaku sebarang kebakaran 'fire curtain' tersebut akan diturunkan bagi memastikan kebakaran tersebut tidak merebak kepada penonton. Sepatutnya, ia menjadi amalan bahawa setiap kali persembahan, 'fire curtain' akan diturunkan dihadapan penonton sebagai memaklumkan kepada penonton bahawa mereka menonton dalam keadaan selamat jika berlaku sebarang kebakaran. 'Fire Curtain' akan dipertontonkan sebelum bermula persembahan dan ketika waktu 'intermission' atau 'interval'. Sebagai hak penonton, jika kebakaran berlaku dan didapati 'fire curtain' tidak berfungsi dan penonton tercedera akibat kebakaran tersebut, mengikut undang-undang pihak penonton boleh menyaman pihak penganjur diatas kecuaian tersebut.

Buat masa ini pihak pengurusan produksi masih 'beruntung' kerana belum ada insiden yang berlaku dan pada masa yang sama penonton juga tidak mengambil tahu hak mereka sebagai penonton. Walaupun ada terdapat insiden-insiden yang berlaku di negara ini seperti kes kematian kanak-kanak akibat terkena serpihan helikopter kawalan jauh di Negeri Sembilan tempohari dan kes kematian remaja yang terkena runtuhan arca menara KLCC di Kelantan suatu masa dulu. Namun, kes-kes sedemikian hanya menjadi topik perbualan dan pendedahan media massa untuk seketika, dan terus hilang dek masa dan hanya menjadi kenangan sejarah kepada keluarga mangsa dan penganjur. 

Sebenarnya, banyak perkara yang ingin dibincangkan mengenai keselematan dalam produksi seni persembahan dan kelemahan sistem pengurusan keselamatan, namun agar sukar untuk diterangkan satu persatu dalam tulisan sini. Misalnya, tahap keselamatan apabila menggunakan dry ice, strobe lights, sound effects, fire effects, pyrotechnics dan lain-lain lagi. 

Sebagai kesimpulan kepada perbincangan ini, sekali lagi saya mengulangi tajuk di atas: Isu Keselamatan Pentas: Beringat Sebelum Kena!.