Saturday, January 11, 2014

Teater tradisional "Mak Yong" perlu dijadikan persembahan harian di Malaysia

Salamm...

Tajuk yang saya ingin bincangkan kali ini adalah berkenaan sebuah teater tradisional Melayu yang terpinggir di negara sendiri iaitu Mak Yong. Kenapa saya memilih Mak Yong? Sebab teater Mak Yong adalah satu-satunya teater tradisional Melayu yang telah diangkat dan diiktiraf oleh pihak tertinggi iaitu UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization) sebagai sebuah "Masterpiece Of The Oral And Intangible Of Humanity" pada tahun 2005. 

Mak Yong sangat popular di Kelantan (suatu ketika dahulu) dan kini telah pun agak popular di Kuala Lumpur. Setinggi-tinggi tahniah kepada JKKN (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) dan Istana Budaya kerana telah beberapa kali mementaskan teater ini. Namun, ia masih tidak memadai jika ingin mengangkat teater ini sebagai produk kesenian negara yang telah mendapat pengiktirafan setinggi itu. 

Pada saya amat rugi jika kita terlepas pandang atau buat-buat terlepas pandang dengan salah satu kesenian tertua kita itu. Saya percaya jika kesenian ini bukannya dari Malaysia, ia sudah tentu tidak menerima nasib sebegini. Jika ia menjadi khazanah negara luar, sudah tentu ia mungkin telah menjadi bahan tarikan dunia atau bahan rujukan oleh banyak pihak. Ada antara kita yang memperakui bahawa Mak Yong kita sama seperti teater Shakespeare di England. Sama ke? Ce citer? Di mana letaknya standard Mak Yong kita berbanding dengan Shakespeare mereka?? Maksud saya bukan nak dibandingkan corak persembahannya...
sudah tentu ia berbeza...tetapi cuba bandingkan penerimaan dunia terhadap kedua-dua teater tersebut...kita dimana? dan mereka dimana? Anda carilah jawapannya...tak sama kan? 

So...??

Atas dasar ini lah saya ingin mencadangkan beberapa strategi bagi mengangkat teater ini agar ia betul-betul menjadi khazanah negara:-

1- Teater Mak Yong perlu dipentas secara harian khususnya di 
     Kuala Lumpur (kalau tidak dapat di lakukan di Kelantan) kerana
     ia perlu diangkat secara serius sehingga ia membentuk sebuah
     identiti teater bertaraf dunia.

2- Mebina sebuah panggung khusus untuk persembahan Mak Yong
    bagi memastikan persembahan dapat dilakukan secara berterusan
    (macam panggung Shakespeare di UK atau Kabuki di Jepun). 
    Tidak perlu panggung yang sopistikated seperti IB...binalah 
    sebuah panggung teater arena atau thrust supaya teater tersebut
    dapat dipersembahkan sebagaimana asal-usulnya.

3-  Jadikan ia sebagai tarikan pelancong yang datang ke Malaysia
     dan syorkan agar setiap pelancong menyaksikan persembahan 
     tersebut melalui pakej pelancongan. 

4- Pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlu
    mempromosikan Mak Yong ini sebagai tarikan baharu, 
    sebagaimana yang dilakukan oleh Thailand dan Indonesia dalam
    mengangkat budaya dan kesenian mereka. Arahkan semua agensi
    pelancongan melakukan gerak kerja yang sama.

5- Memberi peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan universiti
    atau penggiat seni teater tradisional Malaysia khususnya mereka
    yang telah memilih untuk mendalami teater ini di ASWARA,
    USM, UiTM, UM dan lain-lain lagi. 

6- Pelajar-pelajar sekolah (sekurang-kurangnya bermula peringkat
    menengah) hendaklah didedahkan dengan teater ini agar mereka
    mengenalinya secara lebih dekat sekaligus memupuk budaya
    cintakan kesenian tempatan.

Amat malang sekali, setelah UNESCO memberi pengiktirafan tertinggi kepada kesenian kita...apabila???

1- Orang Malaysia sendiri tidak mengenali apa itu Mak Yong...?

2- Pelancong yang datang berkunjung ke negara asal usul Mak
    Yong tetapi tidak dapat menyaksikan secara "live" persembahan 
    tersebut... kerana persembahan tersebut tidak dipersembahkan di 
    mana-mana di bumi Malaysia ini termasuk di negeri kelahiran 
    Mak Yong itu sendiri, iaitu Kelantan.

3- Orang luar memandang tinggi kesenian kita khususnya
    UNESCO....kita hanya memandang sebelah mata sahaja.

4- Kita yang mematikan kesenian kita sendiri...:-(

5- Amat rugi sekali pada tahun 2014, kita mengajak berjuta-juta
    orang mengunjung negara kita sempena Tahun Melawat Malaysia
    tetapi kita TERLUPA nak tunjukkan Mak Yong kita yang 
    mendapat pengiktirafan dunia itu..

Maafkan saya...kerana terpaksa mengunkit kisah malang ini kepada anda...tetapi lebih malang lagi jika suatu hari nanti pihak UNESCO juga akan bertindak menarik balik status tersebut setelah didapati kesenian tersebut telah mati di negara kelahirannya sendiri....:-(






Friday, January 10, 2014

Istana Budaya (IB) Pemangkin Pembangunan Seni Pementasan Malaysia

Salam...dan selamat tahun baru 2014

Pada tulisan kali ini saya ingin memperkatakan tentang sebuah panggung teater idaman ramai...juga telah menyimpul seribu kenangan pahit dan manis bagi mereka yang telah berusaha untuk membina panggung tersebut agar menjadi kenyataan...serta harapan pelbagai pihak agar panggung tersebut menjadi bukti keagungan seni pementasan di Malaysia...

Sudahkah anda mengenali IB dengan secara dekat? maksud saya pernah menonton persembahan pentas di IB?...pernah bekerja di IB? pernah melawat persekitaran IB? kalau yang dah pernah... tentu sudah tahu dan mengenali apa itu IB...kalau yang belum pernah mari kita mengenalinya secara lebih dekat lagi...mudah-mudahan ia memberi ruang dan peluang untuk kita sama-sama berfikir dan menghayati kenapa kita perlu ada IB di negara ini...

Mempunyai panggung teater yang canggih adalah lambang kepada kecemerlangan seni persembahan pentas bagi sesebuah negara khususnya negara maju...contohnya terlalu banyak jika kita ingin sebut di sini..yang disebut-sebut orang adalah seperti UK terkenal dengan West End dan USA terkenal dengan Broadway.  

Di Malaysia, kita telah berura-ura ingin memiliki panggung yang terbaik ini sejak tahun 1964 lagi..kemudian diperkuatkan lagi pada tahun 1971 ketika Kongres Kebudayaan Kebangsaan berlangsung...akhirnya pada tahun 1995 baharulah terbina sebuah panggung yang bertaraf dunia itu...yang amat canggih dan terkini peralatan pementasannya..

Canggih sangat ke pentas IB ni?

Ya...memang canggih!! kalau dah harga pembinaannya mencecah RM210 juta ketika itu...sudah tentu ia bukan calang-calang panggung teater... kan? Sewaktu pembinaannya sekitar tahun 1997, saya sendiri telah berjumpa dengan orang yang bertanggungjawab dalam merealisasikan kecanggihan pentas tersebut iaitu Dr. Malcom White dan Robin Ray...mereka berdua inilah yang telah mereka bentuk kecanggihan teknikal pentas IB..manakala bangunan IB pula di rekabentuk oleh Arkitek Kamar Yaakob...anggaran kos untuk kecanggihan pentas sahaja berjumlah RM60 juta...

Kecanggihan IB adalah tertumpu pada bahagian pentasnya atau dipanggil 'bahagian dapur'...ruang pentas yang sangat luas dan besar..ia termasuk sistem pergerakan pentas (wagon system dan stage lift), sistem penggantungan (fly system), sistem komunikasi antara SM dan petugas-petugas yang lain (communication system), sistem cahaya, sistem audio, sistem multimedia dan lain-lain lagi. 

Penonton akan teruja dengan unsur-unsur kekaguman yang ditunjukkan dalam sesebuah pementasan di IB khususnya apabila peralatan persembahan seperti set dan prop yang akan memasuki ruang pentas menggunakan sistem pergerakan pentas dengan menggunakan kawalan komputer..penampilan set atau prop yang menggunakan teknik sebegini adalah merupakan suatu kesan pembangunan teknologi yang terdapat dalam seni persembahan pentas masa kini dan telah membuahkan hasil serta mendapat tempat di hati khalayak seni persembahan pentas di seluruh dunia.

Selain itu, sistem pencahayaan dan sistem audio yang terkini juga telah membantu menaikkan lagi unsur-unsur spectacular dalam sesebuah persembahan. Tidak ketinggalan juga sistem multimedia dengan imej grafik atau animasi yang digunakan bagi menyokong kesan artistik dalam menggambarkan sesuatu visual persembahan. 

Perlu ke IB secanggih itu?

Ya...perlu..sebab dunia pementasan juga sama seperti industri-industi lain yang harus dilihat sebagai sebuah industri yang mampu memberi pendapatan ekonomi kepada golongan yang memilih kerjaya dalam industri ini. Malah, ia juga mampu memberi pulangan kepada ekonomi negara. Ini terbukti di negara-negara maju bahawa industri ini telah memberi pendapatan yang lumayan kepada syarikat-syarikat yang menerbitkan produksi yang canggih. Sebagai contoh, Cameron Mackintosh dari UK telah menjadi jutawan dalam industri ini dengan menerbitkan beberapa produksi yang popular seperti Miss Saigon, Les Miserables, Merry Poppins, Phantom of the Opera dan lain-lain lagi. 

Jika pihak-pihak tertentu tidak melihat perkara ini sebagai cabang industri sudah tentu dunia pementasan di Malaysia akan malap dan tidak berkembang seperti hari ini. Bagi mengangkat industri ini setanding dengan pencapaian di negara-negara maju, sudah tentu Malaysia juga harus mempunyai panggung teater secanggih negara lain juga. Hari ini, walaupun belum menjadi sebuah industri yang besar, namun saya melihat ia telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan khalayak seni persembahan pentas di negara ini. Pada masa yang sama, penonton hari ini juga telah sanggup untuk membayar satu tiket bagi sesebuah persembahan dengan harga mencecah RM300. Ia amat ketara sekali jika dibandingkan dengan harga tiket di sekitar tahun 90an yang sekadar RM10-RM20 sahaja. Jika dilihat dari peningkatan tersebut, ia ternyata bahawa dengan adanya IB yang canggih itu, perkembangan industri ini amat ketara sekali di negara ini. 

Cabaran bagi mengangkat industri ini menjadi sebuah industri yang kukuh masih jauh lagi...dan ia merupakan cabaran yang harus dipikul oleh semua pihak khususnya bagi mencapai hasrat kerajaan melalui Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN 2009). 

Memang agak sukar untuk anda membayangkan kecanggihan IB ini..kalau hanya dengan membaca tulisan saya sahaja...oleh itu saya syorkan anda datang sendiri menyaksikan persembahan di IB bagi mengenalinya dengan lebih dekat lagi..

Cabaran pada IB...:-)

Suatu masa nanti...peralatan yang ada di pentas IB akan dianggap lapok apabila muncul teknologi lagi canggih dan terkini...atau jika ada pesaing baharu yang muncul menandingi IB...atau bila mana penonton tidak lagi merasa kagum dengan sistem pentas yang ada...