Wednesday, December 3, 2014

Apa beza Pengurusan Acara dan Pengurusan Produksi?

Salamm...

Diharapkan semuanya sihat wal-afiat..lama betul rasanya saya tidak menulis kerana terlalu sibuk dengan tugasan seharian. Tajuk perbincangan saya kali ini nampak remeh iaitu "Apa beza Pengurusan Acara dan Pengurusan Produksi?"...sekali baca dan sekali pandang macam sama ajer!!!...macam serupa ajer!!!

Sebenarnya istilah dan gerak kerja bagi kedua-duanya adalah berbeza tetapi mempunyai kesamaan dalam beberapa perkara dalam keseluruhan proses gerak kerja....berbelit pulak bunyi ya! Tak mengapa...nanti saya bagi contoh..memang kalau kita nak samakan pun boleh.. akan tetapi seeloknya biarlah kita faham istilah tersebut secara terperinci supaya ilmu pengurusan dan gerak kerja kedua-dua istilah tersebut menjadi lebih mantap dan berkesan..lebih -lebih bagi sesiapa yang ingin menceburi atau memilih kerjaya seni dan budaya khususnya individu berjawatan pengurus acara atau pengurus produksi.

Apakah gerak kerja pengurusan/pengurus acara?

Kerja-kerja yang dikaitkan dengan pengurusan acara melibatkan  pelbagai jenis termasuklah seperti festival/pesta, majlis makan malam, pelancaran produk, pameran, perasmian majlis, majlis perkahwinan, majlis sambutan, majlis sambutan negara, pertabalan agong, sukan, hari keluarga dan lain-lain lagi. Gerak kerjanya sangat luas merangkumi pelbagai tugasan secara umum seperti merancang idea, menentukan acara, pengisian acara, kertas kerja, melantik tenaga kerja/urusetia, mengurus kewangan, mengurus jemputan, mengurus protokol, mengurus keselamatan, mengurus kebajikan, mengurus pengangkutan, mengurus khalayak, surat-menyurat, mengurus panggung/lokasi acara, hubungan diplomatik (jika berurusan dengan pihak luar negara), permit, lesen dan lain-lain yang berkaitan dengan jenis atau bentuk acara yang ingin dilaksanakan. 

Bagi acara anjuran agensi kerajaan atau NGO, struktur organisasi pengurusan acara akan bermula dengan jawatan yang dikenali sebagai Pengerusi Projek. Pengerusi Projek pula akan dibantu oleh bahagian atau unit. Bahagian atau unit tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil dan akan diketuai seorang ketua yang dipanggil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil.  Justeru, setiap Jawatankuasa Kecil akan melaporkan kepada Pengerusi Projek segala persiapan atau status masing-masing.


Sebaliknya, jika sesuatu acara itu dianjurkan oleh pihak swasta, syarikat atau orang-perseorangan, gerak kerja pengurusannya akan berbeza dari amalan oleh pihak kerajaan. Tugas dan tanggungjawab mengurus sesuatu cara itu akan diserahkan secara langsung kepada pihak Pengurus Acara (Event Manager). Pihak pengurus acara pula bertanggungjawab melantik tenaga kerja yang bersesuian bagi menjayakan acara tersebut. Pihak pengurus projek akan terus berhubung dengan pihak penganjur dan melaporkan segala aktiviti berhubung acara tersebut. 

Jika anda lihat melalui penerangan diatas, gerak kerja pengurusan acara adalah sangat luas, remeh dan rumit yang melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan sesuatu acara tersebut dilakukan dengan jayanya.

Bagaimana pula pengurusan/pengurus produksi? 

Gerak kerja pengurusan produksi adalah lebih tertumpu kepada kerja-kerja menjayakan sesuatu produksi pentas. Sesuatu produksi  juga boleh berada dalam sesuatu acara. Sebagai contoh, Program Rumah Terbuka Malaysia (RTM) adalah sebuah acara besar peringkat nasional. Mengurus program RTM tersebut dikategorikan sebagai mengurus suatu acara dan mengurus pengisian persembahan pentas adalah mengurus suatu produksi. Ini bermakna, gerak kerja mengurus produksi lebih kecil sifatnya kerana hanya tertumpu kepada menjayakan produksi sempena program RTM tersebut. 

Dalam hal ini, kerja-kerja mengurus produksi akan melibatkan perkara-perkara seperti pemilihan skrip, konsep persembahan, artis, teknikal, latihan penuh, latihan penuh berkostum dan persembahan. Walaupun menjayakan sesuatu produksi seperti teater, tari atau muzik juga memerlukan kerja-kerja pengurusan yang lain seperti pemasaran, publisiti, pengangkutan, kebajikan dan lain-lain, sebagaimana dalam gerak kerja pengurusan acara, namun sifat gerak kerja pengurusan dalam suatu produksi tidak sebesar gerak kerja dalam pengurusan acara. 

Dengan perbezaan dan persamaan itulah, corak pengurusan acara dan pengurusan produksi dikatakan berbeza dan pada masa yang sama terdapat persamaan tertentu. Dalam aspek lain, struktur organisasi dalam pngurusan acara dan pengurusan produksi juga berbeza. Sebagai contoh, struktur organisasi pengurusan acara kebiasaannya merujuk kepada pengerusi, urusetia dan AJK, manakala pengurusan produksi pula merujuk terus kepada jawatan individu seperti pengurus produksi, pengurus pemasaran dan publisiti, pengurus pentas, pengurus teknikal dan lain-lain. Pada sudut yang lain pula tenaga kerja yang terlibat dalam pengurusan acara lebih bersifat sementara kerana keterlibatan mereka hanya bermusim berdasarkan sesuatu projek atau program yang ingin dilaksanakan. Sedangkan, bagi pengurusan produksi tenaga kerja yang terlibat lebih bersifat kekal seperti yang diamalkan di Istana Budaya, KLPAC dan lain-lain syarikat produksi.

Walaupun isu ini boleh diperbincangkan dengan lebih mendalam lagi, adalah diharapkan dengan penerangan berdasarkan apa yang saya tahu dan melalui pengalaman dalam mengurus acara serta produksi dapat memberikan sedikit panduan kepada sesiapa yang ingin menceburi bidang pengurusan acara dan pengurusan produksi atau sekurang-kurangnya dapat menjawab persoalan tentang isu ini.


SELAMAT BERAMAL!!!